24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pengasas produk cium kanak-kanak diburu polis

Mesti Baca

CYBERJAYA – Polis sedang mengesan seorang lelaki pengasas produk kecantikan bagi membantu siasatan berhubung videonya yang tular dalam media sosial memaparkan seorang lelaki mencium bibir seorang kanak-kanak lelaki.

Memetik laporan Bernama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, pihaknya sedang mengesan kanak-kanak berkenaan serta saksi kejadian.

“Siasatan kes berkenaan lebih kepada Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak dan memberi tumpuan dalam mengesan kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, video berkenaan tular dalam media sosial apabila seorang lelaki mencium bibir kanak-kanak yang didakwa sebagai adik angkat lelaki itu.

Menerusi carian pengguna media sosial, pengasas produk kecantikan terbabit memuat naik beberapa video yang memaparkan perilaku sedemikian menerusi akaun TikTok miliknya yang kini sudah dinyah aktif.

pengasas produk
Tangkap layar dari Instagram Story HRH Crown Prince of Johor.

Video tersebut mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan orang ramai dan mereka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu berkenaan dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Isu seorang lelaki dewasa yang dipercayai pengasas produk mencium mulut kanak-kanak turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda mengingatkan semua ibu bapa agar mendidik anak-anak mereka tentang penderaan seksual kanak-kanak.

Advertisements

Titah Tunku Ismail, ibu bapa perlu mendidik anak-anak perempuan dan khususnya anak-anak lelaki masing-masing kerana mereka sering terlepas pandang tentang isu tersebut.

“Didik mereka tentang apa yang betul dan apa yang salah!

“Jangan biarkan orang luar atau saudara-mara mengambil kesempatan terhadap mereka,” titah baginda melalui Instagram Story laman HRH Crown Prince of Johor.

Sementara itu, pelindung kanak-kanak, Syed Azmi Alhabshi berkata, pengantunan atau sexual grooming berdasarkan apa yang dilihat dalam gambar-gambar yang tular adalah agak jelas.

Menurut beliau, perbuatan itu tidak mencerminkan norma budaya timur yang biasa, jurang umur yang jauh bezanya dan juga hubungan antara kanak-kanak dan dewasa itu.

“Dalam takrifan klasik sexual grooming bagi saya adalah perlakuan yang berulang kali sehingga kanak-kanak tidak dapat membezakan sesuatu perbuatan itu sehingga dirasakan normal.

“Jika diteruskan boleh menjurus ke perlakuan yang lebih ekstrem,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan