KUALA LUMPUR – Mungkin ramai yang terlupa bahawa tarikh 10 Februari iaitu semalam merupakan hari di mana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban sekali lagi ke dalam penjara.
Bapa Reformasi Negara itu menjadi penghuni Penjara Sungai Buloh pada 10 Februari 2015 setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.
Mujurlah catatan Anwar dalam laman Facebook miliknya hari ini menggamit kembali kenangan kita tentang peristiwa itu.
Tulisan penuh Ahli Parlimen tersebut adalah seperti berikut:
Semalam tarikh 10 Februari adalah tarikh yang amat mengesankan saya tatkala sekali lagi dihumban ke penjara.
Pengalaman mendekam di penjara itu mengajar saya untuk kekal kuat dan teguh dalam menyuguh agenda rakyat meski diuji, diancam dan ditekan dengan dahsyat.
Derita yang saya alami pada ketika itu masih kecil ketimbang derita yang ditanggung rakyat yang masih dirundung masalah kemiskinan dan peminggiran.
Justeru itu, saya akan terus memperteguh tekad agar negara ini harus segera dipulihkan dan agenda reformasi itu mesti membela semua.
I will not be silenced, I will fight on for freedom and justice and I will never surrender!
Memang sungguh mendekam perasaan dan menyuguh jiwa kata-kata yang dinukilkan oleh Anwar.
Mungkin ramai juga yang terpinga-pinga mencari makna ‘mendekam’, ‘menyuguh‘ dan ‘ketimbang’.
Tolak ketepi dahulu soal perkataan-perkataan bombastik.
Yang lebih penting adalah penegasan Anwar bahawa beliau tidak akan menyerah kalah dalam perjuangannya menegakkan agenda reformasi yang bermula kira-kira 22 tahun lalu.
Ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi Perdana Menteri keempat dan setelah beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh, Anwar masih belum berputus asa dalam usaha menyemarakkan obor reformasi.
Liku-liku perjuangan Anwar memang penuh ranjau dan duri, malah ditikam oleh mereka yang pernah menjadi orang kuatnya sendiri.
Peletakan jawatan Dr Mahathir juga telah meranapkan impian Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan melalui peralihan kuasa dalam kerangka Pakatan Harapan (PH).
Beliau juga mendepani khalayak yang jauh berbeza dengan generasi era Reformasi dahulu di mana rakyat khususnya pengundi kini tidak mudah percaya bulat-bulat apa yang dibombastikkan oleh pimpinan politik.
Mereka sudah mengalami pemerintahan semasa era Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN).
Mungkin sekadar mengimbau kegemilangan masa silam tidak mencukupi untuk meyakinkan pengundi yang semakin matang dalam soal politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti. – EDISI 9