32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Zeti nafi terima dana 1MDB, Najib kata tak boleh dipercayai

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menafikan dakwaan bahawa keluarganya terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Saya memerhatikan dengan kebimbangan apabila melihat banyak laporan media yang tidak benar mengaitkan saya dan keluarga saya dengan 1MDB. Isu berkaitan 1MDB telah disiasat sepenuhnya oleh pihak berwajib seperti BNM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya yang dipetik Bernama, malam tadi.

Dalam satu kenyataan ringkas, Zeti berkata bahawa beliau telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan menyerahkan kesemua maklumat yang diperlukan kepada PDRM serta SPRM berhubung siasatan rasmi berkenaan 1MDB dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zeti bagaimanapun tidak dapat mengulas sebarang kenyataan lanjut memandangkan beliau merupakan saksi yang berpotensi dalam perbicaraan ke atas Najib yang masih berjalan.

“Oleh itu, pada pandangan saya, ini akan menganggu perbicaraan yang sedang berjalan dan berpotensi menjadi sub judice untuk saya membuat sebarang kenyataan ketika ini. Saya ingin mengulangi bahawa keluarga saya dan saya tidak pernah menerima apa-apa jumlah wang daripada 1MDB. Tuduhan terhadap kami adalah palsu dan berniat jahat,” katanya.

Baru-baru ini, blog MalaysiaToday, yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin mendakwa beberapa ahli keluarga Zeti, termasuk suami dan anaknya, menerima lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, yang didakwa mendalangi skandal 1MDB.

Menurut catatan itu, ahli keluarga Zeti didakwa menandatangani satu akuan berkanun (SD), di mana mereka mengakui menerima berjuta dalam akaun bank Singapura, dengan wang itu datang daripada sebuah syarikat dikaitkan dengan Jho Low.

Advertisements

Sementara itu, Najib terus mencabar Zeti menjelaskan sama ada ahli keluarganya pernah menerima dana daripada ahli perniagaan buruan, Jho Low yang didakwa mendalangi skandal 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, penafian bekas gabenor Bank Negara itu yang beliau dan keluarganya tidak menerima sebarang dana 1MDB “tidak boleh dipercayai”.

“Apa yang dia (Zeti) tak nyatakan adalah sama ada akuan berkanun (SD) yang kami sahkan dengan peguam mereka adalah palsu dan sama ada keluarganya pernah diambil tindakan jenayah oleh Singapura berhubung dana yang berasal dari 1MDB?” soal Najib.

Beliau berkata, Zeti harus mengesah atau menafikan sama ada Cutting Edge Industries adalah milik ahli keluarganya.

Najib merujuk SD yang ditandatangani suami Zeti dan dua anaknya, di mana mereka mengesahkan tahu wang 1MDB dimasukkan ke akaun bank mereka di Singapura.

Wang itu dimasukkan ke akaun Cutting Edge Industries dan mereka bertiga mengakui ialah pemilik akaun itu, menurut SD berkenaan.

SD itu adalah dokumen tulen, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan