KUALA LUMPUR – Sarawak dijangka mengalami peningkatan kes jangkitan Covid-19 selepas mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Ro) pada kadar 1.45.
Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar Ro 1.45 itu jauh lebih tinggi daripada kadar kebangsaan iaitu 1.13.

Menurutnya, di Sarawak lima daerah berada di zon merah.
“Kadar kebolehjangkitan Ro/Rt di Sarawak adalah 1.45 iaitu lebih tinggi daripada kadar kebangsaan 1.13,” tulisnya di Facebook malam tadi.
Mengikut data Kementerian Kesihatan Malaysia, lima daerah di Sarawak yang berada dalam zon merah adalah Kuching, Miri, Sibu, Kanowit dan Beluru.
Dua daerah iaitu Dalat dan Sebauh berada dalam zon jingga.
Semalam, Sarawak mencatatkan 203 kes harian Covid-19 baharu disumbang oleh 141 kes saringan sedia ada dan 62 kes lain-lain saringan.
Bagaimanapun, kerajaan mengecualikan Sarawak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dikuatkuasakan hampir semua negeri.
Dr Noor Hisham dalam pada itu memberitahu, di Semenanjung Malaysia, sudah tidak ada daerah dalam zon hijau kecuali satu iaitu di Bandar Bahru, Kedah.
“Ternyata semakin banyak daerah menjadi zon merah,” tambahnya.