27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Joe Biden tandatangan 15 Perintah Eksekutif sejurus angkat sumpah Presiden

Mesti Baca


WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris mengangkat sumpah jawatan dalam satu upacara berlangsung di Capitol Hill yang dikawal ketat di sini, semalam.

Biden yang merupakan Presiden ke-46 mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat John Roberts pada  11.49 pagi Rabu waktu tempatan atau pukul 12.49 pagi waktu Malaysia.

Biden memenangi sebanyak 306 undi elektoral semasa Pilihan Raya Presiden AS November lalu dan lebih 77 juta undi berbanding Donald Trump yang hanya memperoleh 232 undi elektoral dengan 72 juta undi.

Majlis angkat sumpah Presiden AS yang ke-59 ini dilakukan dengan penuh bersejarah, selain menyaksikan ia dilakukan dengan keadaan norma baharu ketika penularan pandemik Covid-19.

Kebiasaannya acara empat tahun sekali itu dihadiri ratusan ribu rakyat, namun tahun ini diadakan tanpa kehadiran ramai memandangkan penularan wabak Covid-19.

Seramai 25,000 anggota pasukan Pengawal Negara turut dikerahkan mengawal keselamatan di Washington D.C.

Ia juga membawa keunikan apabila Naib Presiden, Kamala Harris turut diangkat sebagai wanita berkulit hitam yang pertama mengangkat sumpah di Capitol Hill.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden AS, Biden berkata, Amerika akan memulihkan hubungan dengan sekutunya dan kembali melibatkan diri dengan dunia.

“Kami akan pulihkan hubungan dengan sekutu kami dan sekali lagi melibatkan diri dengan dunia bukan untuk mengharungi cabaran semalam tetapi cabaran hari ini dan akan datang.

“Kita akan memimpin bukan hanya sekadar teladan menggunakan kekuatan, tetapi daripada kekuatan teladan yang ditunjukkan,” katanya.

Beliau turut berikrar untuk menjadi penyokong kuat dan boleh diharapkan untuk keamanan, kemajuan dan keselamatan.

Biden turut akan menumpukan usaha “menyatukan semula Amerika” dan menyeru rakyat bersama-sama berganding bahu.

“Rakyat Amerika mampu menjadikan negara mereka sekali lagi sebagai peneraju utama dunia,” tambahnya.

Mengulas lanjut,  Biden berkata pentadbirannya akan menangani isu ketuanan kulit putih dan keganasan domestik.

“Sekarang, peningkatan ekstremisme politik, ketuanan kulit putih, keganasan dalam negeri yang harus kita hadapi dan tangani,” ujarnya. 

Memetik BBC, Biden tidak menunggu tempoh lama untuk bertugas apabila menandatangani 15 Perintah Eksekutif terutamanya dalam meningkatkan tindak balas kerajaan Persekutuan terhadap krisis Covid-19 beberapa jam selepas mengangkat sumpah.


“Tiada masa untuk dibazirkan terutamanya ketika menangani krisis yang sedang kita hadapi” ciap beliau selepas mengangkat sumpah.

Antara Perintah Eksekutif itu adalah menarik balik dasar diperkenalkan Trump antaranya sekatan perjalanan kepada beberapa negara Islam dari memasuki AS.

Beliau juga menarik balik perintah kecemasan yang membiayai pembinaan tembok sepanjang sempadan AS-Mexico.

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan