24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Ketika politik tak menentu, peranan NGO semakin penting bela nasib rakyat

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh NORDIN ABDUL MALEK

SEBELUM mengulas topik minggu ini secara khusus, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menghantar mesej kepada saya tentang artikel minggu lalu yang bertajuk “Jasa Pemimpin, Pegawai Yang Sentiasa Dikenang“.

Beberapa tokoh seperti Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya dan Dato’ Puhat Nayan, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan beberapa nama lain termasuklah ‘orang kuat istana Perak’ antara yang memberi reaksi positif terhadap artikel saya.

Turut tidak ketinggalan ialah Abu Bakar Ismail, bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah (jawatan terakhir sebelum bersara adalah Naib Presiden Pengurusan Tanah Projek Perumahan 1Malaysia- PR1MA) yang menjadi salah seorang ikon dalam artikel tersebut turut menghantar mesej istimewa buat saya.

Insya-Allah, antara hasrat mereka agar saya membukukan koleksi kolum randai ini akan saya realisasikan bila tiba masanya nanti.

Minggu ini saya ingin berkongsi pandangan mengenai peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang saya lihat menjadi sebahagian platform penting dalam masyarakat pada hari ini.

Ketika politik negara bergolak seperti hari ini, kesan kepada perjalanan, pentadbiran dan pengurusan negara amat dirasakan. Malah keyakinan masyarakat antarabangsa juga akan terkesan akibat ketidakstabilan politik di Malaysia.

Ketika inilah, peranan NGO sangat penting untuk menjadi kuasa pengimbang (check and balance) dalam negara terutama ketika Parlimen digantung berikutan pengisytiharan darurat.

Peranan NGO bukanlah perkara baru di Malaysia.  Sejarahnya bermula sejak zaman British apabila penguatkuasaan kerajaan British di Tanah Melayu terhadap pergerakan perkumpulan terutama melibatkan penghijrahan kaum China ke Tanah Melayu suatu masa dahulu.

Selepas merdeka, maka wujudlah undang-undang yang jelas dan  diketuai oleh badan penguasa yang dikenali sebagai  Pendaftar Pertubuhan.

Jika di luar negara, NGO juga disebut sebagai gerakan ‘Civil Society’ yang biasanya memperjuangkan kepentingan awam. India antara negara yang paling banyak NGO yang dianggarkan sekitar 2 juta (Wikipedia 2020).

Penulis menghimpunkan NGO Melayu bersemuka dengan menteri, timbalan menteri pada tahun 2010 bagi meluahkan rasa bimbang mengenai draf Model Baru Ekonomi
yang mahu diperkenalkan kerajaan ketika itu.

Dalam konteks Malaysia hari ini, melalui pengalaman saya dalam NGO, saya melihat peranan dan kesedaran terhadap  peranan NGO menjadi semakin penting pada masa kini dan masa hadapan. 

Advertisements

NGO boleh berperanan dalam menstabilkan kemajuan dan kemakmuran negara sebagai kuasa ketiga selepas sistem politik dan pentadbiran negara.

Secara peribadi, saya tidak banyak menyertai NGO tetapi mempunyai sedikit pengalaman dengan beberapa pertubuhan NGO yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan sosioekonomi.

Antara yang lahir hasil inisiatif saya ialah Persatuan Pusat-Pusat Bertauliah Swasta MLVK Malaysia (kini dikenali FEMAC) yang diasaskan pada tahun 2004 dalam usaha saya menyatukan semua pusat latihan kemahiran dan memperbaiki sistem latihan di bawah Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) ketika itu (zaman The Nightmare Of MLVK).

Sehingga kini, FEMAC masih bertahan sebagai antara badan tertinggi latihan kemahiran swsata yang diperakukan kerajaan sehingga melayakkan organisasi yang saya tubuhkan itu dipilih menganggotai badan-badan kerajaan seperti MLVK dan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia sejak FEMAC ditubuhkan.

Suatu masa dahulu, saya turut menyertai beberapa pertubuhan lain seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu dan beberapa badan yang menghimpunkan NGO seperti Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM). Ketika itu, kami banyak memperjuangkan masa depan orang Melayu dalam pendidikan dan pembangunan ekonomi.

Namun secara jujur saya katakan bahawa kebanyakan NGO Melayu tidak mempunyai matlamat perjuangan yang jelas, ‘hangat-hangat tahi ayam’ berbanding dengan NGO Bukan Melayu.

NGO Bukan Melayu sangat serius, strategik dan konsisten dalam perjuangan mereka. Ini mungkin disebabkan oleh tarbiyah mereka sejak zaman  bertapak di Tanah Melayu lagi.

Saya perhatikan, sejak kerajaan Barisan Nasional terumbang ambing selepas pilihanraya 2013, pelbagai NGO wujud khususnya dalam kalangan orang Melayu wujud sama ada berdaftar atau sebaliknya.

Banyak juga NGO yang wujud bagaikan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ bersifat ‘merapu’ dan kadangkala menjadi pak lawak yang akhirnya menjadi glamour sebagai penghibur atau penglipurlara.

Bagaimanapun mereka mungkin berguna kepada sesetengah pihak terutama golongan politik untuk melakonkan gambaran penyokong yang ramai (tukang kumpul orang).

Dalam situasi politik hari ini dan dunia diancam pandemik Covid-19, peranan NGO sangat diperlukan kerana krisis keyakinan rakyat terhadap institusi politik sudah semakin parah.

Pada pandangan saya, jika kita mahu menyertai parti politik hari ini sebagai platform perjuangan, tiada satu parti pun dapat meyakinkan kita keupayaan mereka menguasai kepimpinan demokrasi sebenar.

Sudah tentu matlamat perjuangan yang konsisten sukar diperolehi kerana mereka akan berubah-ubah sepanjang masa kerana masing-masing tidak memiliki majoriti yang mutlak dan nawaitu yang bercelaru..

Dalam pelbagai krisis hari ini, saya yakin NGO boleh menjadi platform terbaik untuk kita memperjuangkan hak dan kepentingan masyarakat.

Ada yang mengatakan NGO tidak mempunyai kuasa besar seperti parti politik, memang benar tetapi jika kita menjadi NGO yang kuat, digeruni dan dihormati, saya yakin NGO mampu menjadi kuasa penentu arah tuju perjalanan negara.

Situasi politik sekarang mungkin mengajar kita juga untuk hidup dengan apa yang anggap ‘Rakyat Sendiri Jaga Sesama Rakyat.” Anda boleh ‘mentafsirkannya’ sendiri.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan