33.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Laksana PKP secara ketat dengan segera, desak Najib

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak terus-menerus menekan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara ketat dan menyeluruh bagi membendung penularan Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, langkah membendung wabak itu sukar dicapai sekiranya sektor yang menjadi penyumbang terbesar kes iaitu pembuatan dan pembinaan masih terus dibenarkan beroperasi.

“Di mana logiknya jika matlamat PKP benar-benar adalah untuk mengawal Covid? Sebab itu, buatlah PKP 2.0 yang paling ketat tanpa kelonggaran untuk dua minggu.

“Jangan buat PKP setengah masak yang sudah pasti akan dilanjut berkali-kali,” katanya menerusi beberapa hantaran dalam Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sendiri meluahkan kebimbangannya semalam mengenai peningkatan jumlah kluster melibatkan tempat kerja mutakhir ini, terutamanya bagi sektor perkilangan dan pembinaan.

Terbaharu, katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberitahu Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) bahawa kerajaan bercadang untuk melaksanakan PKP 3.0 yang amat ketat.

Ini termasuk melarang sektor perkilangan dan pembinaan beroperasi selepas PKP 2.0 berakhir pada 4 Februari sekiranya angka Covid-19 masih tinggi.

“Sudah tentu angka Covid akan tetap tinggi sehingga 4 Februari sebab sektor-sektor yang menyumbang bahagian terbesar kluster Covid juga adalah sektor-sektor yang sama dibenarkan beroperasi seperti biasa pada PKP 2.0.

“Jika PKP 3.0 berlaku, sektor-sektor lain tidak berkaitan yang terpaksa sia-sia berkorban 23 hari untuk PKP 2.0 nak tuntu kerugian daripada siapa?

“Kenapa tak laksanakan secara ketat tanpa kelonggaran awal-awal lagi pada PKP 2.0 seperti disaran saya dan ramai lagi? Kenapa hanya cadang nak buat selepas PKP 2.0 selama 23 hari telah terbazir?” tegas Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurutnya, jika mahu melaksanakan PKP yang lebih ketat termasuk melarang sektor perkilangan dan pembinaan, perkara itu boleh dilaksanakan sekarang dan bukannya menunggu sehingga PKP 2.0 berakhir.

“Jangan tunggu dan paksa rakyat menderita lagi lama di bawah PKP,” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: Ambil tindakan tegas – Tunku Ismail

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim hari ini menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas berhubung isu penjualan stoking...

Lagi Artikel Berkaitan