24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pemilihan UMNO: Tok Mat-Ismail Sabri gandingan mantap?

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

KALAU ikut kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan baru-baru ini, parti itu akan tetap mengadakan pemilihan agungnya tahun ini.

Maknanya 3.5 juta ahli UMNO yang ada bolehlah membuat pemilihan pucuk pimpinan baharu.

Maklum, ramai sangat pemimpin bawahan sana yang tak sabar nak tengok Zahid Hamidi meninggalkan kerusinya. Itu yang berani bersuara, yang tak berani lagi banyak.

Baguslah UMNO teruskan proses pemilihan dalam keadaan wabak Covid-19 memandangkan pucuk pimpinan parti itu bukan main lagi menggasak Muhyiddin Yassin mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan segera.

Macam tak sabar nak tukar kerajaan. Mungkin UMNO begitu yakin mereka boleh menang dan bentuk kerajaan sendiri di bawah panji Barisan Nasional (BN) seperti selama 60 tahun sebelum ini.

Jika UMNO berjaya mengadakan mesyuarat pemilihan parti dari peringkat cawangan, bahagian sehingga Majlis Tertinggi tanpa “meningkatkan” kes Covid-19 ia sudah tentu menjadi penanda aras bahawa PRU-15 boleh diadakan.

Maklum, sebelum ini kerajaan bimbang jika Patlimen dibubarkan sekarang dan PRU-15 diadakan sebelum vaksin diberikan kepada rakyat, ia akan menjejaskan kesihatan rakyat.

Penulis membayangkan Zahid tidak akan mempertahankan kerusinya selaku Presiden parti dalam pemilihan kali ini. Itu firasat penulis sahaja dan sebaik-baik tindakan.

Tapi kalau PRU-15 diadakan sebelum pemilihan UMNO dibuat dan katakanlah jangkaan UMNO/BN menang PRU-15, maka tidak salah memberi peluang kepada Zahid untuk terus berada di atas takhtanya.

Namun andai PRU-15 masih samar-samar dan pemilihan UMNO “perlu dilakukan segera”, ada baiknya juga kalau mereka yang mempunyai kes mahkamah termasuk Zahid, mengundurkan diri seketika.

Dan jika ini berlaku, penulis tidak nampak calon lain yang paling berwibawa untuk mengisi jawatan tertinggi parti Melayu ini melainkan Mohamad Hasan atau Tok Mat.

Nama Tok Mat sebetulnya sudah lama disebut-sebut oleh ahli untuk diangkat sebagai pemimpin UMNO sejak pemilihan 2018, namun Tok Mat masih belum ada keberanian untuk mencabar kerusi tersebut, dan hanya “berani” duduk di kerusi nombor dua.

Walhal bahagian-bahagian UMNO seluruh negara yang bermesyuarat pada masa itu sudah bersedia untuk memberi sokongan kepadanya, walau apa juga jawatan yang mahu ditandingi.

Dalam pemilihan kali ini, nama Tok Mat semakin kuat dilaung untuk menggantikan Zahid.

Advertisements

Selama setahun Tok Mat memangku jawatan Presiden ketika Zahid ‘berehat’ sebelum ini telah menunjukkan kewibawaan sebenar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Tidak hairan sehingga kini nama Tok Mat disebut-sebut calon terbaik mengisi jawatan Presiden UMNO.

Lalu siapa yang sewajarnya digandingkan dengan Tok Mat sebagai orang nombor dua? Ismail Sabri Yaakob.

Kenapa? Sebab pengalamannya dalam parti dalam dua kerajaan berbeza, dan cara beliau berhadapan dengan isu keselamatan negara sepanjang wabak Covid-19.

Bagi penulis, ketokohan Ismail Sabri sepanjang memegang portfolio Menteri Kanan (Keselamatan) dalam kerajaan hari ini cukup menguji keupayaannya dan bagi penulis beliau telah lulus dengan cemerlang.

Tok Mat memerlukan gandingan yang mempunyai pengalaman dalam kerajaan Pusat yang mana beliau sendiri tidak pernah merasainya.

Ismail Sabri pernah memegang beberapa portfolio penting semasa dalam kerajaan BN dahulu antaranya Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri.

Siapa tahu jika BN dapat membentuk kerajaan selepas PRU-15, mereka sekurang-kurangnya sudah mempersiapkan seorang calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang berwibawa, dipercayai dan yang penting berintegriti.

Namun jika Ismail Sabri bertindak untuk bertanding kerusi Presiden, penulis percaya beliau akan tewas kepada Tok Mat. Jadi adalah lebih selamat jika beliau bertanding sebagai Timbalan Presiden.

Walau apapun, ini semua bergantung kepada akar umbi UMNO yang akan membuat pemilihan pucuk pimpinan mereka nanti dan tuan empunya badan, sama ada bersedia menggalas tugas lebih mencabar itu atau sebaliknya.

Benar, akan wujud persaingan pasukan pro-Bersatu namun penulis tidak nampak ia menjadi “ancaman” kepada Tok Mat-Ismail Sabri.

Ini kerana bahagian-bahagian seluruh negara sudah membuat keputusan menolak kerajasama dengan Bersatu dan penulis percaya, tidak banyak perubahan di peringkat bahagian dalam pemilihan itu nanti.

Dan team pro-Bersatu sukar untuk menggugat para penentang kerjasama itu sementelah hati mereka masih tersakiti akibat perbuatan Bersatu terhadap UMNO dan BN selama ini.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan