28.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Pemuda UMNO Merbok bantah Jambatan Semeling ditutup semasa PKP

Mesti Baca

ALOR SETAR – Pemuda UMNO Bahagian Merbok membantah penutupan Jambatan Semeling dekat sini oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Kedah, baru-baru ini.

Ketuanya,  Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata, keputusan penutupan Jambatan Semeling itu menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat khasnya dari Tanjung Dawai, Merbok dan Semeling yang bekerja di Pusat Bandar Sungai Petani atau kawasan sekitar kerana menyukarkan pergerakan penduduk yang terpaksa keluar bekerja selepas pelbagai sektor pekerjaan diberi kebenaran beroperasi oleh Kerajaan.

Ujarnya, terdapat beberapa keluhan dinyatakan ibu bapa yang berdepan kesukaran menguruskan anak-anak mereka yang wajib menghadirkan diri ke sekolah selain petugas barisan hadapan yang memerlukan Jambatan Semeling sebagai akses jalan raya untuk perjalanan pergi dan balik bekerja. 

Selain itu katanya, terdapat juga keluhan besar dari golongan pengusaha restoran dan kedai makan serta penghantar makanan  yang terpaksa menggunakan lencongan Bedong kerana pelanggan terpaksa membayar kos lebih ekoran penutupan Jambatan Semeling dan penghantar makanan yang terpaksa menanggung risiko penghantaran lewat dan kos petrol berlebihan.

Muhamad Nur Aizat Noor Azam

“Tambahan pula, akibat penutupan jalan Jambatan Semeling ini akan menyebabkan jalan lencongan Semeling-Bedong dan Bedong-Sungai Lalang akan mengalami kesesakan trafik yang amat teruk berikutan pertambahan jumlah kenderaan yang terpaksa melalui jalan-jalan ini sebagai laluan alternatif untuk ke Pusat Bandar Sungai Petani,” katannya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Nur Aizat mencadangkan IPD Kuala Muda menarik balik keputusan penutupan Jambatan Semeling sepanjang pelaksanaan PKP 2.0 dan membuka kembali laluan tersebut dengan mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) pada kedua-dua arah laluan.

Jelasnya, ini bagi memastikan tujuan untuk mengawal had pergerakan penduduk di daerah Kuala Muda masih dapat dijalankan dengan berkesan. 

“SJR akan memastikan pengguna jalan raya yang mempunyai dokumen kebenaran bekerja dan kebenaran pergerakan dengan yang sah sahaja dapat menggunakan akses Jambatan Semeling.

 “Selain itu, jambatan Semeling hanya dibuka untuk waktu tertentu iaitu seperti dibuka dari pukul 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam sahaja,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Nur Aizat berkata, Pemuda UMNO Bahagian Merbok mewakili majoriti penduduk yang terkesan dengan penutupan Jambatan Semeling berharap agar satu keputusan segera dapat diadakan kerana penutupan tersebut lebih memberi kesusahan, kepayahan serta mudarat kepada masyarakat berbanding dengan tujuan baik pelaksanaannya.

“Kami berharap agar satu tindakan dan keputusan dapat diambil oleh pihak PDRM dan IPD Kuala Muda dengan kadar segera.

“Kami hanyalah menyampaikan suara-suara seluruh masyarakat di luar sana mengenai isu ini dan berharap penyelesaian sewajarnya dapat diberikan,” tambahnya.

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan