34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Jangan sampai jatuhkan imej sendiri, Najib!

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh MOHAMAD ASRI

UNTUK ke sekian kalinya, hantaran akaun Facebook Datuk Seri Najib Tun Najib Razak mempertikaikan keputusan kerajaan. Baru-baru ini, YB Menteri Kewangan Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi sasaran beliau.

“Perlu jujur, bro.” Demikian beliau memulakan hantarannya sebelum secara sinis menyindir Tengku Zafrul berhubung keputusan kerajaan menggantung sidang Parlimen ekoran pelaksanaan Proklamasi Darurat di Malaysia, yang menurut Najib tidak boleh disamakan dengan pengisytiharan darurat yang dibuat oleh 80 negara lain.

Saya tidak mahu mengulas mengenai pengisytiharan darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kerana saya bukan pakar undang-undang apatah lagi pakar Perlembagaan.

Apa yang saya mahu ulas adalah tentang ‘kerajinan’ bekas Perdana Menteri ketujuh ini memuat naik hantaran atau status berbaur sindiran, kutukan dan kritikan terhadap segala dasar, keputusan mahupun kenyataan yang dibuat oleh kerajaan, anggota Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiap hari.

Terbaharu, PKP 2.0 jadi sasaran kritikan beliau kerana berpendapat kerajaan sepatutnya melaksanakan lockdown penuh.

Najib Razak terus menerus menggunakan saluran media sosial untuk menekan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Saya percaya jika kerajaan buat lockdown tentu lain pula nada status atau hantaran media sosial beliau. Ini kerana seingat saya, jarang sekali malah tidak keterlaluan jika dikatakan tidak pernah akaun media sosial Najib menyambut baik pengumuman atau keputusan kerajaan. Jauh sekali memuji.

Ada sahaja yang tidak kena dan tidak betul. Baik dasar atau inisiatif, walaupun jelas memberi manfaat kepada sebilangan rakyat, tetap buruk pada mata Najib.

Bantuan tunai di bawah Prihatin, Prihatin PKS+, Penjana, Kita Prihatin dan Permai, ditambah dengan manfaat lain termasuk moratorium bayaran pinjaman sewa beli dengan bank dan syarikat kewangan, penangguhan bayaran balik PTPTN, penjadualan semula hutang MARA, sewa premis di bangunan kerajaan dan banyak lagi insentif untuk meringankan beban rakyat, tidak langsung menjentik hatinya untuk memuji usaha Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sepatutnya, bagilah pujian pada tempatnya, give credit where it is due.
Ini tidak. Semua yang kerajaan buat tak betul. Ada sahaja salahnya. Buat PKP salah, tak buat salah. Buka kedai makan salah, tak buka kena marah.

Dah bagi keluar KWSP RM500 sebulan, nak one-off RM10,000. Dah bagi moratorium tiga bulan, nak tambah enam bulan. Dah bagi setahun, masih tidak cukup.

Rasanya, pembangkang pun tak seaktif dan seagresif media sosial Najib dalam menghentam kerajaan. Kadang-kala kita keliru, siapa Ketua Pembangkang sebenarnya?

Kalau sekali dua, mungkin boleh diterima. Tetapi kalau setiap hari, saban waktu, ada sahaja komen menyindir atau bahasa kasarnya ‘menganjing’ daripada Najib dan para penyokongnya, tidak pelik jika orang akan mempersoalkan apa motif di sebaliknya?

Jika tidak ada-ada masakan tempua bersarang rendah? Kalau kecaman demi kecaman terus-terusan dipaparkan, salahkah jika orang akan mula mengaitkannya dengan usaha memperlekeh kerajaan? Mungkin ada dendam kesumat yang tidak berkesudahan?

Bukan lagi rahsia yang Muhyiddin (bersama-sama Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) “ditendang keluar” dari kerajaan pimpinan Najib dan parti UMNO setelah membangkitkan tentang skandal 1MDB pada tahun 2015.

Skandal yang dibicarakan di Malaysia itu telah terlebih dahulu memasuki mahkamah di negara jiran Singapura dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Walaupun UMNO kini menyertai Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin, tindak-tanduk Najib bersama beberapa pemimpin UMNO lain yang digelar ‘kluster mahkamah’ termasuk Presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi akhir-akhir ini, menimbulkan tanda-tanya.

Advertisements

Mereka ini cukup lantang mengkritik kerajaan walau realitinya banyak inisiatif yang diumumkan oleh Kerajaan PN sejak berkuasa mulai 1 April 2020. Daripada bantuan Prihatin, Prihatin PKS, Prihatin Elektrik, Penjana, Kita Prihatin dan terbaru Permai.

Mungkin tidak semua rakyat mendapat faedah langsung tetapi, sedikit-sebanyak pasti menikmati manfaat daripada inisiatif yang diumumkan itu. Kelompok M40 misalnya, buat pertama kali di bawah Kerajaan PN merasai bantuan Prihatin untuk kategori isi rumah RM8000 ke bawah.

Alhamdulillah, bantuan ini dapat meringankan beban sara hidup kelompok M40 yang ramai antaranya golongan miskin bandar.

Seingat saya sepanjang kerajaan BN memerintah, dari zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, diikuti Pak Lah atau Tun Abdullah Badawi sehingga Najib sendiri, golongan M40 sentiasa ‘dilupakan’ ketika Kerajaan mengumumkan insentif untuk rakyat semasa pembentangan Belanjawan saban tahun.

Zaman pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan pun, golongan M40 tidak dipandang. Yang ada hanya e-wallet RM30. Itulah sahaja yang dihadiahkan kepada rakyat.

Hanya sejak Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin mengambil alih, golongan M40 telah diberi perhatian bersama-sama B40 dan golongan rentan lain. Bukan sekali malah dalam setiap inisiatif yang diumumkan kerajaan.

Selain bantuan Prihatin untuk yang berkelamin dan bujang, dapat juga diskaun bil elektrik selain moratorium pinjaman sewa beli kenderaan dan rumah, yang dibincangkan oleh Kerajaan dengan pihak bank.

Di bawah pimpinan Muhyiddin, rakyat mengenal perkataan moratorium selepas Kerajaan mengumumkannya buat pertama kali semasa PKP dilaksanakan Mac lalu.

Pengeluaran caruman KWSP yang selama ini hanya boleh dinikmati selepas berusia 50 tahun pun buat pertama kali dapat dinikmati oleh pencarum menerusi i-Lestari dan i-Sinar.

Justeru, tidak perlulah Najib dan penyokongnya beriya-iya sangat hendak menjuarai isu pengeluaran one-off i-Sinar RM10,000 ini. Sebab jika kerajaan sekarang tidak mengusahakan agar pencarum dapat mengeluarkan caruman mereka, jangan beranganlah mereka dapat berbuat demikian selagi belum berusia 55 tahun.

Golongan yang terjejas pendapatan dan benar-benar terkesan akibat COVID-19 – sama ada dibuang kerja, dipotong gaji, hilang pendapatan, terkurang pendapatan – semuanya sudah diberi perhatian oleh kerajaan malah dipermudahkan permohonan i-Sinar mereka.

Hanya kumpulan yang menuntut bayaran i-Sinar one-off RM10,000 dan permohonan tanpa syarat yang masih terus diperjuangkan oleh Najib dan beberapa ahli politik?

Soalnya siapa mereka ini? Kenapa Najib bersungguh dan terus mendesak sehingga tahap memberi kata dua kepada kerajaan agar memenuhi tuntutan kumpulan ini?

Kenapa mereka terlalu istimewa di mata Najib hinggakan saban hari dimainkan isu ini? Sampaikan Bossku lupa rakyat lain yang lebih teruk terkesan akibat pandemik ini.

Bukan semua rakyat Malaysia adalah pencarum KWSP. Mengikut rekod hanya 14 juta rakyat menjadi ahli, itu pun bukan semua memohon i-Sinar. Adakah nasib lebih 18 juta rakyat Malaysia yang lain kurang penting pada Najib?

Kadang-kala saya tertanya-tanya apakah benar status atau hantaran akaun media sosial Najib Razak adalah pandangan beliau, atau hanya pekerja yang diupah mengendalikannya.

Kalaulah ini kerja ‘admin’ akaun media sosial beliau, lebih baik Najib buang dan gantikan orang lain sahaja. Kalau dibiarkan, hanya merendahkan martabat beliau sebagai seorang bekas Perdana Menteri.

  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan