25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Berkongsi ekonomi semua kaum, tamak jadi perosak

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh NORDIN ABDUL MALEK

SUDAH ditakdirkan Allah, Malaysia begitu unik kerana memiliki pelbagai kaum, bangsa dan agama yang hakikat itu terpaksa diterima sejak kemerdekaan tanahair Malaysia tercinta.

Bukan mudah untuk menguruskan Malaysia kerana perbezaan kehendak, budaya dan citarasa ini perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan kesamarataan sebenar.

Kesaksamaan dan kesamarataan itu adakalanya perlu dihitung dengan formula yang tidak dapat dikira dengan kiraan matematik biasa, sebaliknya memerlukan kaedah yang melangkaui kelaziman tertentu iaitu secara cermat, hati-hati yang penuh kebijaksanaan.

Sejak kita membina negara selepas merdeka, keharmonian negara dapat dikekalkan, walaupun terdapat juga beberapa peristiwa yang boleh mengancam kestabilan tersebut.

Antaranya ialah rasa tidak puas hati dalam menikmati kek ekonomi antara kaum dalam negara.

Jika kita melihat dari sudut positif, kesan perlumbaan meraih peluang ekonomi antara kaum di Malaysia membolehkan ekonomi bergerak dengan baik dan pantas kerana sifat dan budaya sesuatu kaum itu membolehkan proses pembangunan ekonomi berjalan secara semulajadi walaupun kerajaan mesti berperanan mengimbangi kesan baik dan buruknya.

Uniknya Malaysia ialah semua kaum bebas mencapai matlamat ekonomi mereka asalkan mereka bijak merebut peluang dan rajin berusaha.

Orang Cina yang menguasai ekonomi negara mempunyai daya tahan dan daya usaha luar biasa. Orang Melayu pula majoritinya berperanan menjadi tenaga kerja yang menjadi nadi penggerak sektor ekonomi. Malah kaum India juga kelihatan menguasai sektor-sektor tertentu yang kesan ekonomi kepada mereka sudah menjadi lebih baik pada masa kini, berbanding masa lalu.

Itulah apa yang dipanggil ‘Formula Malaysia’ iaitu berkongsi kek ekonomi dengan baik yang menjamin keharmonian pelbagai kaum dan agama di Malaysia selama ini.

Penulis (kiri) mempunyai sahabat lama pelbagai kaum yang sentiasa berkongsi
suka-duka termasuk dalam perniagaan.

Sepanjang penulis meniti kehidupan hampir 50 tahun ketika ini, penulis dapat merasai nikmat keharmonian negara hasil kebijaksanaan semua pemimpin kita terdahulu menguruskan agihan ekonomi secara seimbang, walaupun wujudnya sedikit anasir yang sentiasa menghasut dengan sentimen tertentu terutama di kalangan golongan yang berkepentingan politik.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini terdapat suara-suara dan tanda-tanda sikap tamak yang mula menguasai pandangan dan sikap sesetengah pihak di Malaysia. Puncanya ialah sikap tamak yang keterlaluan.

Penulis sendiri berpengalaman dalam beberapa urusan tertentu yang memperlihatkan sifat tamak sesetengah pihak yang kadangkala berada di tahap melampau. Sejak kecil penulis memang didedahkan dengan suasana kehidupan pelbagai kaum kerana kedua ibu bapa penulis mempunyai rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Tauke-tauke Cina menjadikan orang Melayu sebagai pelanggan dan rakan kongsi strategik mereka. Kita boleh menyaksikan mereka mencari rezeki bersama dengan bebas asalkan tahu menghormati adab dan tatasusila antara satu sama lain.

Malah dalam satu pengalaman istimewa, Allahyarham bapa penulis berkongsi membangunkan estet kelapa sawit dengan memajukan tanah terbiar penduduk kampung melalui perjanjian usahasama tauke Cina dengan pemilik tanah.

Walaupun kedua-dua rakan kongsi Melayu dan Cina ini sudah meninggal dunia, namun legasi perniagaan tersebut diteruskan oleh keturunan masing-masing hingga kini tanpa sebarang pertikaian.

Semuanya adalah hasil formula perkongsian yang jelas iaitu memahami batas nilai toleransi iaitu batas ekonomi dan batas untuk hormat dan menghormati antara satu sama lain. Tauke Cina memahami bahawa tuan tanah adalah orang Melayu sendiri.

Sebebas manapun mereka mencari rezeki, mereka perlu akur dengan perjanjian dan syarat tuan tanah. Selagi tidak melanggar batas toleransi atara satu sama lain, maka tiada sebarang masalah yang timbul.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, pelbagai pendedahan buruk yang melibatkan kegiatan ekonomi seperti pelbagai isu tanah dan ekonomi di Perak dan pencerobohan tanah kerajaan untuk tanaman Musang King di Pahang adalah antara petanda sikap tamak yang keterlaluan semua pihak, sama ada di pihak tauke, mahupun penguasa dan pemimpin kerajaan yang berkuasa.

Penulis sendiri dapat merasainya dalam kes-kes tertentu yang melibatkan sifat tamak haloba sesetengah pihak. Sebagai penggiat dalam pendidikan dan latihan kemahiran teknikal serta vokasional, penulis mengilhamkan sebuah projek yang menggabungkan kepentingan dan perkongsian semua kaum secara menang-menang, selain bercirikan integrasi antara kaum melalui usahasama ekonomi.

Komitmennya adalah melalui ikatan perjanjian. Malah dari sudut profesionalismenya pula, prosedur pengitirafan industri turut didaftarkan dan diperakukan secara rasmi mengikut prosedur kerajaan.

Namun, akibat rasa tamak yang menggila dan disokong oleh ‘Abang Besar’ tokoh politik di belakang mereka, tauke-tauke Cina ini lupa daratan lalu merancang untuk menyingkirkan penulis.

Dengan komplot melibatkan tokoh politik (semuanya kaki melompat parti politik) dan pengaruh mereka dalam GLC, mereka berjaya menguasai sementara kawasan tanah tersebut.

Ikut hati geram dan sifat pahlawan penulis ‘Amukan Melayu’ pasti sudah berlaku tetapi atas nama keamanan dan kedaulatan undang-undang, penulis mengambil pendirian sebagai masyarakat bertamadun dengan membawa kes ke mahkamah.

InshaAllah semua pihak akan diheret, daripada Pengerusi GLC, tauke Cina sehinggalah ‘Abang Long’ dan ‘Kak Long’ (kebetulan kedua-dua mereka adalah ahli politik yang berperangai sama iaitu melompat parti) untuk disapina bagi memberi keterangan di mahkamah nanti.

Mereka mungkin tidak menyedari bahawa penulis juga bukanlah ‘kecik anak’. Ada juga pengalaman dalam strategi bisnes dan gerak kerja politik (walaupun bukan orang politik). Sudah pasti segalanya terlintas di dalam kepala penulis.

Di sebalik rasa geram dan marah, wujud rasa syukur atas peristiwa yang berlaku kerana memberikan banyak pengalaman berharga kepada penulis.

Betapa sifat tamak haloba dan keangkuhan kuasa antara tauke dan pemimpin politik yang menjadikan kek ekonomi yang sepatutnya dimakan secara adil dan saksama bertukar menjadi musibah yang menunggu masa untuk meletup.

Kisah ladang penulis, pendedahan isu tanah di Perak dan Pahang yang sedang hangat diperkatakan adalah natijah sifat tamak haloba dalam kalangan tauke yang selalunya sangat berani kerana mereka berjaya membeli ‘Abang Besar’ dalam kalangan pemimpin dan penguasa yang berkuasa.

Secara jujur juga, peristiwa ini juga sedikit-sebanyak telah memberi satu persepsi negatif dan prejudis penulis terhadap kaum tertentu dalam bab ekonomi walaupun selama ini, penulis cuba membuang persepsi itu.

Sungguhpun menyedari bahawa kesan tersebut bukanlah tanda yang baik tetapi inilah sebabnya mengapa kita perlu menangani isu kesaksamaan ekonomi dengan cermat dan bijak kerana api yang semakin membara menunggu masa untuk menjadi marak hingga memusnahkan sebuah negara yang kita bina dengan penuh toleransi selama ini.

Apatah lagi kesan impak Covid-19 dan perang ketegangan ekonomi dunia yang bakal memberi musibah kepada keharmonian negara akibat rasa tidak puas hati itu.

Oleh itu, kita memerlukan segera satu formula ekonomi baru dengan peluang dan kaedah baru yang bersifat menang-menang antara semua kaum demi keamanan, kemakmuran dan keharmonian Malaysia menuju masa depan yang kelihatan kian mencabar.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.


Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan