30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Politik tak habis-habis… rakyat sudah letih, menyampah!

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA tersebar dakwaan menyatakan ada 113 ahli Parlimen termasuk daripada UMNO telah menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, penulis hanya mengeleng kepala. Terdetik di hati, kegilaan apakah ini?.

Penulis tertanya-tanya benarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu hebat memperjuangkan isu rakyat akan sanggup bertindak melakukan langkah strategi politik yang akan menyusahkan rakyat.

Tak kanlah, Ahmad Zahid dan Najib sanggup untuk bersekongkol dengan Anwar semata-mata untuk melepaskan kes yang mereka hadapi di mahkamah seperti mana didakwa.

Ia tidak mungkin berlaku kerana kedua-dua pemimpin kanan UMNO itu sudah menegaskan berkali-kali bahawa mereka akan membersihkan nama di mahkamah.

Walaupun setakat ini kedua-dua pemimpin itu tidak membuat penafian secara rasmi seperti mana dilakukan oleh beberapa ahli Parlimen yang dikaitkan dengan SD tersebut, tetapi penulis bersangka baik bahawa apa yang diperkatakan berhubung pertemuan Anwar, Najib dan Ahmad Zahid dengan seseorang hanyalah khabar angin.

Mana mungkin Ahmad Zahid dan Najib yang dianggap ‘UMNO totok’ sanggup mengkhianati dasar parti sendiri iaitu ‘No Anwar, No DAP’. Mana mungkin Ahmad Zahid dan Najib bersikap ‘talam dua muka’ dengan berada dalam Perikatan Nasional tetapi pada masa sama mahu mengkhianati kesepakatan tersebut.

Penulis tidak percaya kedua-dua pemimpin berkenaan sanggup melakonkan sandiwara tahap tertinggi demi untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Justeru penulis menganggap apa yang disebarkan hanya khabar angin tambahan pula sumber dalaman Pakatan Harapan (PH) dan orang kanan Anwarpun sudah menafikan perkara itu dan menganggap ia adalah palsu.

Baguslah macam itu sebab rakyat sudah muak dan mula bosan dengan mainan politik merebut kuasa yang tidak habis-habis.

Sebenarnya dalam tempoh dua tiga hari ini bukan sahaja soal akuan bersumpah turut diperkatakan malah ada juga dakwaan kononnya apa yang berlaku di Perak mungkin akan berlaku di Sabah.

Ada yang mendakwa ADUN-ADUN UMNO di negeri itu telah diminta oleh kepemimpinan parti untuk bersedia menghadapi kemungkinan berkenaan. Paling menarik kesepakatan tersebut didakwa mungkin akan melibatkan Parti Warisan dan kalau itu berlaku Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal akan kembali menjdi Ketua Menteri.

Walaupun khabar angin ini nampak menarik namun penulis tidak mempercayainya. Bagi penulis, ini satu lagi usaha untuk memecah belahkan kesepakatan dalam Perikatan Nasional.

Lagi pula, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu dengan tegas menyatakan, UMNO Sabah tidak akan mengkhianati jalinan kerjasamanya dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan berharap agar pendirian sama dipegang rakan lain dalam gabungan itu.

“Jaminan (untuk terus bersama rakan GRS) sentiasa ada, ini bergantung kepada keikhlasan kita semua, UMNO memang ikhlas, kita tidak akan mengkhianati rakan kita dan kita juga minta rakan jangan mengkhianati kita, walau siapa sahaja rakan kita,” katanya.

Sebab itulah, penulis menganggap sama ada soal sokongan yang dimiliki oleh Anwar mahupun soal Sabah tersebut hanya khabar angin dan konspirasi serta perancangan licik individu-individu dalam politik yang bak kata seorang kawan, ‘’memang diupah untuk menjadi bodoh’’.

Penulis berharap dalam keadaan rakyat sedang susah berikutan pandemik Covid-19, janganlah ada pemimpin yang terus rakus mahu berebut kuasa dengan menggunakan alasan ‘keabsahan’ dan bersikap hipokrit, begitu hebat bercakap soal masalah rakyat tetapi secara diam-diam melakukan gerakan politik yang akan menyusahkan rakyat.

Jika ahli-ahli politik terus mahu berebut kuasa sesama mereka, jatuh menjatuh sesama sendiri, tidak mustahil rakyat akan menyampah dengan ahli politik – sekarangpun dalam media-media sosial sentimen itu sudah ada.

Rakyat sudah letih dengan mainan politik yang seolah-olah tidak penghujungnya sejak selepas PRU-14.

Yang anehnya, ramai ahli politik bercakap soal membela nasib rakyat tetapi hakikatnya ia hanya retorik semata-mata. Kalau betul berjuang untuk rakyat, kalau betul mahu membela rakyat, mereka tidak akan memperalatkan nama rakyat untuk berebut kuasa atas alasan yang mereka sendiri ciptakan.

Rakyat tidak tahu soal keabsahan, rakyat tidak peduli soal ada cukup majoriti atau tidak dan sudah tentu rakyat tidak kisah soal kerajaan perpaduan, apa yang rakyat mahu ialah mencari rezeki demi untuk menyuap nasi ke mulut keluarga masing-masing dan kerajaan melaksanakan program bagi mengurangkan beban mereka.

Itulah yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Tak kan ahli-ahli politik tidak faham? Atau memang buat-buat tak faham sebab masing-masing sudah kemaruk mahu berkuasa dan mahu mengambil kesempatan kerana majoriti tipis dimiliki kerajaan sekarang?

Memang kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak stabil sebab ada majoriti cukup-cukup makan sahaja tetapi itu bukan alasan untuk mewujudkan ketidakstabilan politik ketika pandemik Covid-19 ‘tengah menggila’,.

Sabarlah sekejab sehingga wabak itu selesai. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sudah berjanji akan mengadakan PRU-15 apabila pandemik itu reda. Tak kanlah tak boleh sabar kecualilah mereka takut kalah dalam PRU.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan