28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

3 MP pakai sut PPE mengundi di Dewan Rakyat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga ahli Parlimen membuktikan mereka memang layak menjadi wakil rakyat apabila terus membawakan suara rakyat meski pun terpaksa memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) di Dewan Rakyat hari ini.

Biarpun terpaksa berpanas, tiga ahli Parlimen berkenaan iaitu Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah), Datuk Seri Dr Adham Baba (BN-Tenggara) dan P. Prabakaran (PKR-Batu) dilihat hadir mengundi dengan memakai sut PPE tengahari ini. 

Dr Adham dan Saravanan hadir di Dewan Rakyat memakai sut PPE. Foto FACEBOOK WEE KA SIONG

Gambar ketiga-tiga ahli Parlimen (MP) itu dikongsikan akaun Facebook Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Pada gambar yang dikongsikan Ka Siong, Dr Adham dirakam duduk berdekatan Saravanan di Galeri Awam manakala Prabakaran duduk berseorangan.

Menerusi keterangan pada hantaran itu, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul (PKR-Sg Petani) memohon pengundian belah bahagian bagi memutuskan Belanjawan 2021 di Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ketiga-tiga orang MP itu sedang menjalani kuarantin di rumah (HSO) seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Namun mereka telah memohon kebenaran kepada Ketua Pengarah Kesihatan untuk menghadiri sesi pengundian di dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun memetik Astro Awani, kehadiran ketiga-tiga ahli Parlimen itu mencetuskan perdebatan di Dewan Rakyat.

 Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar bangkit mempersoalkan tindakan Yang Dipertua Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung kehadiran tiga Ahli Parlimen berkenaan, yang disifatkan memberikan risiko individu-individu lain.

Namun, Azhar menegaskan keputusan membenarkan mereka hadir adalah bagi membolehkan tiga Ahli Parlimen itu menjalankan pengundian.

“Pada Khamis lalu terdapat beberapa Ahli Parlimen belah sana (pembangkang) tidak mematuhi arahan kuarantin dan datang mengundi.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku dan lebih baik mengatur pengundian ini.

“Saya akan mengambil tindakan (terhadap Ahli Parlimen pembangkang). Pada pengiraan saya, daripada orang tidak mematuhi perintah kuarantin, lebih baik saya ‘regulate’ pengundian,” katanya.

Sejurus selepas itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangkit dan sekali lagi meminta penjelasan dan rasional keputusan membenarkan Ahli Parlimen berkenaan berada di Galeri Awam.

Azhar mengulangi pendirian dengan menegaskan keputusannya adalah bagi memboleh Ahli Parlimen berkenaan menjalankan pengundian.

Terdahulu, Azhar berkata Ahli Parlimen berkenaan akan dibawa menaiki ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan