28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Muhyiddin akan terus ‘diganggu’, bubar Parlimen pilihan terbaik

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SELAMA mana Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu bertahan? Inilah persoalan paling popular sebaik sahaja Belanjawan 2021 untuk Bacaan Kali Ketiga diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan undi 111 ahli Parlimen Kerajaan menyokong manakala kesemua ahli Parlimen blok pembangkang tidak menyokong.

Walaupun kemenangan itu menggagalkan usaha pembangkang menumbangkan Muhyiddin dengan menolak Belanjawan 2021 tetapi kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional bukanlah ampuh, Perdana Menteri ada kelebihan tiga undi sahaja untuk terus berkuasa.

Sudah pasti Pakatan Harapan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan duduk diam. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menaruh harapan untuk Perdana Menteri, Dr. Mahathir turut mempunyai impian sama walaupun sudah dua kali berada pada kedudukan tersebut manakala Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal juga dilihat semakin teruja untuk mengepalai pembangkang.

Walaupun Mohd. Shafie tidak menyatakan secara terbuka namun Ahli Parlimen Semporna itu masih dibuai dengan impian itu kerana sebelum ini beliau dikatakan paling sesuai menggantikan Anwar sebagai calon Perdana Menteri daripada pembangkang.

Maknanya, gangguan daripada pembangkang akan berterusan. Tidak mustahil kita akan menyaksikan lagi adegan mengumpul akuan bersumpah serta keluar masuk Istana Negara.

Selain pembangkang, Muhyiddin turut mendapat tekanan daripada UMNO. Datuk Seri Najib Tun Razak yang hampir setiap hari mengkritik Kerajaan Perikatan Nasioanal melalui Facebooknya, ada sahaja isu dibangkitkan sehingga ada dalam kalangan pemimpin UMNO sendiri beranggapan tindakan bekas Perdana Menteri itu seolah-olah mahu memburukkan kerajaan.

Pada masa sama, Tengku Razaleigh Hamzah juga secara terbuka telah mengisytiharkan untuk bekerjasama dengan Dr.Mahathir bagi ‘memulihkan negara’ dan Ahli Parlimen Gua Musang itu turut tidak hadir dalam pengundian belanjawan semalam.

Malah UMNO pula mengakui ada dalam kalangan ahli parti itu tidak bersetuju dengan tindakan menyokong belanjawan tersebut, bagaimanapun Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, parti itu mempunyai pendekatan dan strategi lain selepas ini bagi memastikan perjuangannya untuk rakyat terbela.

Najib pula sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional berkata, gabungan itu konsisten untuk mendesak kerajaan membenarkan pencarum KWSP keluarkan wang mereka tanpa syarat dan moratorium dilanjutkan.

Kata Najib, ‘’Jika hasrat kami masih tidak tercapai dan kami masih rasa tertipu selepas satu tempoh masa yang munasabah maka BN masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak.’’

Semua senario ini menunjukkan Muhyiddin tidak boleh terus mahu bertahan. Sebaliknya beliau harus mempertimbangkan untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15. Sebelum ini Ahli Parlimen Pagoh itu sudah berjanji akan berbuat demikian selepas pandemik Covid-19 reda.

Advertisements

Ketika ini pandemik tersebut sudah nampak boleh dikawal, rakyat pun sudah boleh menerima norma baru dan memahami mereka ‘perlu hidup bersama’ Covid. Oleh itu kalaupun mahu diadakan PRU-15 ia bukan sesuatu yang sukar.

Satu sumber memberitahu, walaupun Belanjawan 2021, Muhyiddin tidak akan mampu memerintah negara dengan tenang. Tekanan dan desakan serta konspirasi untuk menjatuhkan beliau pasti berlaku sehingga ia akhirnya akan terus menggugat kestabilan politik negara.

‘’Jadi Muhyiddin kena bubar Parlimen, mungkin sebaik sahaja sidang Dewan Negara berakhir. Mungkin Mac 2021 dah boleh buat PRU. Beliau tak boleh bertahan dengan sokongan tipis macam ni,’’ kata sumber itu.

Sebenarnya kalau ikut demokrasi, menang satu undi pun dikira menang, tetapi di Malaysia kalau sesiapa memiliki undi sedemikian, dia belum tentu selamat, apatah lagi untuk berkuasa sebagai Perdana Menteri.

Ia memandangkan ahli-ahli politik negara sama ada pembangkang mahupun dalam parti yang menyokong kerajaan masing-masing ada agenda sendiri.

Ada yang mahu menjadi Perdana Menteri, ada yang mahu kembali menjadi Perdana Menteri, ada yang mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan ada yang mahu melepaskan leher sendiri serta macam-macam lagi.

Keadaan ini sudah tentulah tidak mampu membantu Muhyiddin menguruskan negara dengan tenang. Beliau akan terus diganggu dengan gerakan bermotif politik.

Oleh itu membubarkan Parlimen adalah jalan terbaik. Muhyiddin tidak boleh dipengaruhi oleh sentimen yang meminta beliau terus bertahan sehingga satu penggal. Percayalah ia tidak akan tercapai.

Muhyiddin buatlah sebaik mana pun perancangan bagi menguruskan negara, selagi tiada majoriti kukuh, puak-puak politik tidak akan duduk diam. Justeru langkah terbaik kembalikan mandat kepada rakyat.

Ia bagi memastikan kerajaan mendapat majoriti lebih kukuh dalam PRU-15. Situasi politik sekarang merimaskan rakyat. Mereka sudah bosan dengan gelagat ahli-ahli politik yang lebih banyak berebut kuasa sesama sendiri. Dengan kerajaan memiliki majoriti tipis, semua orang mahu mengambil kesempatan.

Kembalikanlah semula mandat kepada rakyat. Walaupun tiada jaminan kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU-15 tetapi dengan apa yang berlaku sejak PRU-14 hinggalah hari ini, penulis yakin rakyat sudah mendapat pengajaran berguna untuk membuat keputusan lebih tepat pada pilihan raya umum kali ini.

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan