24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup ganja RM1.5j

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis merampas sebanyak 300 kilogram ketulan ganja mampat bernilai lebih kurang RM 1.5 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, tekong sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang membawa ganja itu berjaya melarikan diri dalam satu ‘Op Khas’ yang diadakan pada 25 Disember lalu.

Bot membawa ganja berjaya dipintas Maritim Malaysia namun tekong nekad terjun ke laut. foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata, rampasan itu dibuat di perairan Negeri Perlis pada jarak lebih kurang 0.4 batu nautika daripada barat pantai Sungai Padang, Perlis sekitar pukul 3.00 pagi, hari sama.


 Menurutnya, kejadian bermula selepas anggota Maritim Malaysia mengesan seorang lelaki mengemudi bot fiber memasuki perairan Kuala Perlis sekitar pukul 3.00 pagi.

“Bot peronda Maritim Malaysia yang bersiap sedia melakukan serbuan dan tangkapan telah bergerak ke lokasi kejadian menuju ke arah bot berkenaan.


 “Menyedari kehadiran bot pihak berkuasa, bot fiber tersebut telah menukar haluan dan memecut laju ke arah kawasan hutan paya bakau, namun bot berjaya dipintas oleh Bot Peronda Maritim.

“Namun tekong telah bertindak nekad terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang melarikan diri ke dalam paya bakau berhampiran,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulinda berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, anggota penguatkuasa Bot Peronda menjumpai 11 bungkusan guni yang mencurigakan di dalam petak ikan. 

Advertisements


Ujarnya, pemeriksaan lanjut menemukan ketulan-ketulan berbentuk kotak yang diikat dan dibalut kemas dengan plastik putih dan disyaki ganja mampat yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran.


 Beliau menjelaskan, setiap bungkusan ganja mampat itu seberat satu kilogram manakala keseluruhan ganja mampat yang dirampas pada kali ini seberat 300 kilogram dengan anggaran nilai sekitar RM1.5 juta.


 “Nilai keseluruhan rampasan termasuk ketulan ganja mampat, bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM 1.53 juta.


 “Semua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya.

Sementara itu, Zulinda berkata, ini merupakan rampasan ganja yang kedua terbesar oleh Zon Maritim Kuala Perlis selepas rampasan pertama pada 15 November 2020 lalu yang juga membabitkan rampasan sebanyak 300 kilogram ketulan ganja.


 Kejayaan operasi kali ini katanya adalah menerusi intipan dan risikan yang dilakukan selama beberapa minggu lalu, dalam usaha mematahkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa di perairan negara.

“Penyeludupan ganja ini dipercayai untuk pasaran sekitar utara Semenanjung Malaysia merangkumi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” tambah beliau. 

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan