30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Arafat gigih edar makanan percuma buat rakyat Malaysia di Singapura

Mesti Baca

SINGAPURA – ‘#Kitabersaudara. Food Not For Sale. From Ummah For Ummah. This Food For Charity. Malaysian Say ‘Hi’ For Me’.

Demikian tertera tulisan pada sekeping kotak kadbod yang diikat pada beg galas seorang pemuda sambil menggendong dua lagi beg plastik biru jenama syarikat perabot antarabangsa yang penuh diisi 80 pek makanan dan 20 keping capati.

Siapakah gerangan pemuda ini? Beliau adalah Arafat Mahyiddin, rakyat Malaysia yang ikhlas membantu mengedar makanan secara percuma kepada rakyat senegara yang kurang berkemampuan di Singapura.

“Kebiasaannya, saya melakukan aktiviti ini pada hujung minggu kerana pada hari biasa, saya bekerja,” katanya kepada Bernama yang berpeluang mengikuti perjalanan Arafat untuk mengedarkan makanan, pada Ahad lalu.

Berita.mediacorp.sg melaporkan, Arafat, 37, akan mengatur perjalanannya berpandukan peta MRT demi melancarkan perjalanan agar si penerima tidak tertunggu-tunggu.

Menariknya, beliau yang mula bekerja di Singapura pada November 2018, mempunyai senarai panjang nama kira-kira 100 rakyat Malaysia yang rata-rata bekerja sebagai pencuci dan operator kilang.

Ditanya signifikan menggantung kepingan kotak kadbod tertera tulis sebegitu, Arafat berkata, jika tidak berbuat demikian, beliau tidak akan dibenarkan menaiki MRT kerana membawa barang yang agak banyak dan akan diminta menggunakan kenderaan awam lain.

“Bagaimanapun, selepas mengetahui bekalan ini adalah untuk tujuan kebajikan, pihak berkuasa MRT dan penumpang memberi kerjasama yang sangat baik,” kata bapa tiga anak ini.

Arafat yang berasal dari Pahang, lazimnya akan mengambil bekalan makanan sekitar pukul 2.30 petang di pusat pengedaran di Pasir Ris sebelum membuat penghantaran yang biasanya selesai sekitar pukul 7.00 malam.

Perjalanannya ke sekurang-kurangnya 10 stesen bermula di stesen Pasir Ris, di bahagian barat Singapura sehingga ke Marsiling di bahagian utara, meliputi kawasan seperti Tampines, Bedok, Geylang, Kallang, Bukit Merah, Queenstown, Clementi dan Jurong East.

Advertisements

Ditanya mengenai kesanggupannya untuk menghantar makanan itu,  Arafat berkata: “Rata-rata mereka (kurang bekemampuan) ini sedang bekerja. Dengan penghantaran makanan ini, kos dan masa dapat dijimatkan. Mereka tidak perlu datang ke Pasir Ris yang terletak di hujung barat pulau ini.”

Arafat yang bekerja di sektor perkilangan juga berkata: “Jika ada pahala (atas perbuatan) saya ini, saya harap ia disedekahkan kepada arwah ayah”.

Beliau juga suka mengisi masa melakukan kerja amal itu agar tidak terlalu mengenangkan anak dan isteri di tanah air.

 Arafat yang meminati seni fotografi, berkata bekalan makanan terbabit disediakan sekumpulan rakyat Singapura dengan menggunakan slogan “Kita Bersaudara”.

“Saya mengikuti usaha kebajikan ini ketika berada di Malaysia lagi. Jadi, apabila saya dipanggil semula oleh majikan ke sini (September lalu), ia memberi peluang kepada saya untuk melakukan kerja amal ini,” katanya.

Seorang penggerak usaha “Kita Bersaudara”, Mohd Razib Ibrahim yang ditemui di pusat pengedaran di Pasir Ris, berkata kira-kira 180,000 pek makanan sudah diedarkan kepada “Anak Malaysia” sejak Mac lalu.

Beliau berkata, pengedaran makanan itu adalah pada purata antara 500 dan 600 pek sehari.

Katanya, kumpulan itu membantu Anak Malaysia yang kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa atau agama sejak langkah memperketatkan pergerakan di pintu sempadan kedua-dua negara dilaksanakan Mac lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kami menerima sumbangan dari pelbagai pihak termasuk sebuah bank Malaysia yang beroperasi di sini. Melalui sumbangan itu, rakan kami yang mengusahakan perkhidmatan katering membantu menyediakan masakan dengan menu lengkap bernilai tiga dolar satu pek untuk diedarkan,” katanya.

“Syukur (Alhamdulillah) dengan bekalan ini, saya dapat jimat sedikit sebanyak dalam kos pembelian makanan setiap bulan,” kata Yusri, salah seorang penerima yang hampir setahun tidak pulang ke Malaysia.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan