28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Hubungan Bersatu-UMNO kini ibarat `telur di hujung tanduk’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


SAMA ada suka atau tidak, tersingkirnya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar (MB) Perak hari ini membuktikan hubungan antara UMNO dan Bersatu sememangnya ada masalah serius.

Kita tidak perlu berlapik dalam soal ini kerana keputusan pengundian menunjukkan dengan jelas UMNO tidak menyokong usul percaya kepada Menteri Besar Perak tersebut.

Kalau melihat kepada komposisi parti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah jelas ADUN UMNO antara 48 ADUN yang tidak bersetuju memandangkan Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 ADUN sahaja. Dan paling menarik untuk diperkatakan ialah Pas setia bersama Bersatu apabila 3 ADUNnya menyokong usul berkenaan.

Untuk rekod DUN mempunyai 24 ADUN UMNO, Bersatu (4), 3 (Pas), DAP (16), Amanah (5) dan PKR (3).

Malah sebelum pengundian dijalankan, ADUN Gunung Semanggol daripada Pas, Razman Zakaria menganggap usaha menukar pemimpin kerajaan yang berlaku dalam DUN hari ini adalah satu ‘ penderhakaan dan pengkhianatan’.

Justeru beliau mahu usul dibawa oleh ADUN Pengkalan Baru daripada UMNO, Abdul Manaf Hashim disokong, namun keputusan sebaliknya berlaku. Ahmad Faizal tersingkir akibat hasil usul yang dibawa oleh sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebenarnya usul itu walaupun usul percaya tetapi ia dianggap ‘perangkap politik’. Ia memandangkan usul tersebut sebenarnya mahu membuktikan bahawa Ahmad Faizal tiada sokongan majoriti di DUN sekaligus beliau tidak layak terus menjadi MB.

Penulis percaya, apa yang berlaku akan meningkatkan lagi ketegangan hubungan antara UMNO dan Bersatu yang semua orang tahu UMNO sebenarnya hanya menjalin hubungan dengan parti serpihannya itu ‘separuh hati’ apabila bersetuju bersama dalam Kerajaan PN.

Sebab itulah pemimpin-pemimpin UMNO berkali-kali mengingatkan hubungan dengan PN hanya sekadar sokongan Ahli Parlimen dan ADUN bagi menubuhkan kerajaan sama ada di peringkat negeri dan pusat untuk penggal ini sahaja, apabila Parlimen dibubarkan, UMNO lebih cenderung untuk berjuang tanpa Bersatu dalam PRU-15.

Tidak mustahil selepas ini banyak lagi undi percaya akan berlangsung di sidang-sidang DUN di negeri yang PN memerintah dengan majoriti tipis terutamanya negeri yang UMNO menjadi MB seperti Melaka dan Johor.

Apapun bagi penulis, tidak payah lagi mana-mana pemimpin sama ada Bersatu mahupun UMNO bersandiwara mengenai hubungan mereka. Sudah jelas dan nyata kini, UMNO tetap menolak Bersatu dan tidak akan bekerjasama dengan parti itu dalam PRU-15.

Tentunya apa yang berlaku di Perak akan membangkitkan kemarahan pemimpin dan penyokong Bersatu justeru tidak mungkin kedua-dua parti itu akan dapat berbaik-baik.

Sebab itulah ini penulis sudah menegaskan, UMNO sepatutnya berterus terang dengan membuat pendirian rasmi mengenai hubungan dengan Bersatu bagi menghadapi PRU-15.

Tidak perlu berdolak dalik atau cakap berlapik kerana mahu menjaga hati memandangkan ada kerjasama di peringkat pusat atau di beberapa negeri. Apa yang terjadi di Perak adalah bukti bahawa kesepakatan yang terbentuk antara kedua-dua parti itu adalah sandiwara politik tahap tertinggi.

Seperkara lagi, ia juga memberikan isyarat jelas kepada UMNO bahawa Pas akan tetap bersama PN seperti mana dibuktikan dalam sidang DUN Perak hari ini dan ia juga sudah tegaskan oleh pemimpin Pas di peringkat pusat. Justeru UMNO perlu bersedia berjuang sendirian dalam PRU-15.

Dan kalau UMNO begitu yakin boleh menang pilihan raya dengan berjuang secara bersendirian, tak perlulah lagi ‘bermuka-muka’ dalam kerjasama dengan Bersatu melalui PN.

Bagaimanapun apa yang berlaku bukan hanya tertumpu kepada UMNO sahaja, sebaliknya Bersatu juga patut dipersalahkan kerana tidak menunaikan janji.

Menurut UMNO Perak, sebenarnya ada perjanjian bertulis dibuat sebelum kerajaan PN dibentuk di Perak beberapa bulan lalu malangnya kegagalan menunaikan perjanjian itu menjadi penyebab usul percaya kepada Ahmad Faizal.

Malah UMNO juga dikatakan kecewa apabila Ahmad Faizal melantik seorang ADUN UMNO sebagai Setiausaha Politik tanpa berunding dengan parti itu. Ini belum lagi mengambil kira bagaimana Bersatu menerima ADUN UMNO yang melompat parti sehingga mengurangkan kekuatan UMNO di DUN.

Keadaan sama juga berlaku di pusat sebelum ini apabila berbelas-belas Ahli Parlimen UMNO ‘melompat’ ke dalam Bersatu. Justeru bila kini apabila mereka bekerjasama sudah tentu ‘luka yang berdarah sukar untuk sembuh’.

Bersatu perlulah belajar untuk menunaikan janji dan tidak mengambil wakil rakyat lain untuk memperkuatkan parti mereka. Kalau dengan UMNO sebuah parti besar pun Bersatu melakukan tindakan politik sedemikian, adakah Pas akan mendapat layanan lebih baik? Penulis hanya bertanya kerana itulah yang bermain fikiran banyak pihak.

Kesimpulannya, apa yang berlaku di Perak adalah bukti hubungan antara Bersatu dan UMNO kini ibarat ‘telur di hujung tanduk’, bila-bila masa sahaja akan berkecai’ – bila ia akan terjadi sama-sama kita tunggu.

Tetapi menaruh harapan kedua-dua parti itu berbaik ia ibarat menanti ayam jantan bertelur, selagi mereka tidak pandai menunaikan janji, bersikap ego, angkuh dan benci.

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan