25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

SOP pelitup muka hanya wajib di tempat awam

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Masih ramai yang keliru tentang prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Akibatnya, timbul persepsi yang salah terhadap pihak lain yang tidak memakai pelitup muka di kawasan yang tidak diwajibkan berbuat demikian.

Turut menerima kecaman adalah pemimpin-pemimpin kerajaan yang turun padang bertemu penduduk di kawasan Parlimen masing-masing.

Bagi merungkai kekeliruan itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menjelaskan bahawa pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan apabila berada di tempat-tempat awam yang sesak.

Contohnya, di pusat beli-belah, rumah ibadat, majlis keramaian, pawagam, hospital, klinik dan ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam bersesak, masih ada yang keliru berkaitan pelitup muka ini.

“Seperti yang saya nyatakan semasa diumumkan dulu, wajib memakai pelitup muka di kawasan awam yang bersesak,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam.

Maksudnya, jika berada di kawasan yang tidak sesak termasuk di dalam rumah yang ada beberapa individu pada satu-satu masa, tidak perlulah memakai pelitup muka.

Sebelum ini, memang ramai yang faham apa yang dimaksudkan dengan ‘tempat awam yang sesak’.

Namun, baru-baru ini, pihak tertentu cuba mengelirukan orang ramai dengan menularkan gambar seorang menteri Kabinet yang tidak memakai pelitup muka ketika melawat penduduk di kawasan Parlimennya.

Mereka mendakwa kononnya Ahli Parlimen terbabit melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan terutamanya dari segi pemakaian pelitup muka.

Walhal, tiada kesalahan dilakukan ketika lawatan tersebut malah menteri terbabit dan pegawai-pegawainya menjaga penjarakan fizikal.

Tidak pasti pula apa motif mereka berbuat demikian dan sama ada mereka tahu SOP sebenar berkaitan pemakaian pelitup muka.

Sebaik-baiknya pihak terbabit meluangkan masa meneliti SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan menghadamkannya supaya tidak berlaku salah faham.

Lebih memburukkan keadaan, perbuatan mereka telah menimbulkan tanggapan yang salah terhadap menteri itu dan pegawai-pegawainya.

Rajin-rajinlah membaca agar dapat menghindarkan diri dari kejahilan tanpa sempadan. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan