29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Mi kari hanya ada DNA ayam, bukan daging babi – KPDNHEP

Mesti Baca


PUTRAJAYA – Hanya unsur DNA ayam dikesan pada daging dalam mi kari yang dijual sebuah restoran terkemuka selepas rakaman video oleh netizen yang tular di laman sosial tempoh hari yang mendakwa hidangan itu mengandungi daging babi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, keputusan itu hasil daripada analisa dan ujian makmal oleh Jabatan Kimia Malaysia yang dijalankan ke atas sampel daging yang diterima.

Menurutnya, berikutan penularan video itu, Ibupejabat KPDNHEP Putrajaya serta beberapa cawangan KPDNHEP Selangor telah menghantar beberapa sampel yang mengandungi daging yang diambil dari restoran tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa. 

“Melalui keputusan analisa terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KPDNHEP memeriksa sebuah restoran dipercayai menjual menu bercampur daging babi


Baru-baru ini, KPDNHEP Selangor menyerbu sebuah restoran di Subang Jaya, Selangor kerana disyaki menyajikan menu mi kari yang mengandungi daging babi.


Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dilakukan susulan tular di laman sosial satu rakaman video berkenaan dakwaan terbabit.

Iskandar Halim memberitahu,  KPDNHEP akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa patuh terhadap perundangan yang telah ditetapkan.

Ujarnya, ia juga bagi memastikan pengusaha makanan tidak sewenangnya menyalahgunakan kelulusan yang diberikan dengan maksud berselindung dan mengaburi pengguna melalui kelulusan terbabit.  


 “KPDNHEP juga ingin menyeru kepada pengguna agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu yang tidak sahih melalui laman media sosial yang mana boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Iskandar Halim berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat atau menyemak berkaitan dengan isu halal oleh pihak pengusaha makanan dan minuman disarankan supaya menghubungi talian hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau melalui web KPDNHEP atau boleh juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Beliau menambah,  setiap aduan mestilah lengkap mengandungi nama, nombor telefon, premis, lokasi, gambar aduan yang dimaksudkan dan resit jika aduan berkenaan dengan harga dan pembelian.   

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan