26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Jika ditinggal Pas, apa ‘strategi politik luar kotak’ UMNO?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APA nak jadi dengan Muafakat Nasional (MN) ?

Itulah persoalan paling banyak ditanya oleh kawan-kawan penulis apabila mereka membaca berita pelantikan Ketua Pemuda Pas, Ir.Khairil Nizam Khairuddin sebagai Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN).

Pada pandangan mereka, pelantikan itu akan mewujudkan kekeliruan dalam soal kerjasama politik antara Pas dan UMNO yang bergabung dalam Muafakat Nasional.

Tanya mereka, bagaimana mungkin Pas mahu bergerak dengan keadaan sebelah kaki di dalam PN manakala sebelah kaki lagi dalam Muafakat Nasional?

Penulis katakan kepada mereka, jika tiada usaha dilakukan bagi mengukuhkan hubungan UMNO dan Pas, tidak mustahil Muafakat Nasional yang terbentuk melalui Piagam Perpaduan Ummah pada 14 September 2019 akan ‘terkubur’ lebih awal sebelum ia melangkah masuk ke gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sama ada pemimpin UMNO suka atau tidak, mereka harus mengakui bahawa hubungan dengan Pas mungkin tidak akan ke mana. Pas kini dilihat oleh banyak pihak lebih cenderung untuk berada dalam Perikatan Nasional sebab itulah parti tersebut antara paling awal menyertai gabungan berkenaan apabila mahu didaftarkan.

Kalaulah UMNO masih menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Pas dalam PRU-15 adalah lebih baik hasrat itu difikirkan semula. Tetapi persoalannya, seandainya berlaku perpecahan dengan parti yang memperjuangkan Islam itu, apakah alternatif yang UMNO ada?

Adakah slogan ‘No Anwar, No DAP’ akan berkekalan? Penulis melontarkan soalan ini kerana sudah ada cakap-cakap yang mahukan parti itu melakukan ‘strategi politik di luar kotak’ dengan turut mempertimbangkan kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bagi menghadapi PRU-15.

Strategi itu bertujuan bagi memastikan UMNO kembali berkuasa jika ditinggalkan oleh Pas. Penulis tidak pasti sama ada ia benar-benar akan dilaksanakan atau tidak, atau ia sekadar cakap-cakap politik dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO.

Ia memandangkan sudah pasti ahli-ahli akar umbi akan menentang strategi tersebut terutamanya melibatkan kerjasama dengan DAP. Adalah satu tugas yang sukar untuk mana-mana pemimpin parti itu melaksanakan misi memberi penerangan kepada ahli-ahli UMNO berhubung perkara itu kerana parti tersebut secara tegas berpegang kepada prinsip ‘No Anwar, No DAP’.

Adalah lebih baik jika UMNO terus berpegang kepada prinsip tersebut dan tidak melakukan tindakan politik yang dianggap ‘luar biasa’ tersebut terutama dalam kalangan orang Melayu. Perlu diingat pengundi UMNO bukan orang UMNO sahaja tetapi juga pengundi Melayu ‘atas pagar’.

Kalaupun mungkin Muafakat Nasional hanya akan tinggal nama, namun ia bukan alasan kepada mana-mana pemimpin UMNO (kalau ada) cuba melakukan usaha atau gerakan untuk menghapuskan prinsip ‘No Anwar, No DAP’.

Bagaimanapun penulis percaya ‘strategi politik luar kotak’ itu sekadar cakap-cakap politik bagi ‘memanaskan’ situasi dalam UMNO berikutan hubungan parti tersebut dalam Perikatan Nasional khususnya dengan Parti Bersatu.

Penulis tidak fikir ada dalam kalangan pemimpin UMNO akan begitu jahil mahu melakukan gerakkan politik seumpama itu kerana ia sama sekali tidak akan menguntungkan parti tersebut dalam PRU-15 kecualilah kalau mereka mempunyai agenda peribadi.

Jika Pas tinggalkan UMNO, lebih baik UMNO berjuang sendirian daripada mereka menggadaikan prinsip ‘No Anwar, No DAP’. Lagi pula DAP pun sudah menolak sebarang kerjasama dengan UMNO.

Jika ada mana-mana pemimpin UMNO mahu mengorbankan prinsip berkenaan atas alasan apapun, ahli-ahli UMNO harus bangkit menentangnya. Pemimpin terlibat harus disingkirkan.

Bagaimanapun diharapkan gerakkan itu tidak akan wujud biarpun UMNO semakin ditinggalkan oleh Pas manakala hubungan dengan Bersatu pula semakin tegang.

Dalam soal melaksanakan ‘strategi politik di luar kotak’ itu, salah satu yang boleh dipertimbangkan ialah memastikan UMNO meletakkan calon-calon yang bersih, berwibawa dan diterima rakyat (bukan sekadar ahli UMNO sahaja) dalam PRU-15.

UMNO harus ada keberanian melakukan perubahan dalam pemilihan calon tersebut dengan menggugurkan atau merehatkan mereka yang ada kes mahkamah, tidak kira kes mereka di peringkat apa pun.

Begitu juga dengan muka-muka lama yang kalah dalam pilihan raya umum lalu, mereka juga tidak seharusnya dipertimbangkan untuk kembali menjadi calon.

UMNO tidak ketandusan pemimpin, cuma kadang kala mereka bagaikan ‘terhalang’ daripada menonjolkan diri. Pemimpin seperti Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki, Shahril Hamdan dan ramai lagi termasuk di peringkat negeri harus diketengahkan dengan diberi peranan lebih besar dalam usaha UMNO kembali berkuasa selepas PRU-15.

Ingatlah jika Pas meninggalkan UMNO, cabaran UMNO untuk kembali berkuasa amat getir, justeru ‘strategi di luar kotak’ bukanlah mempertimbangkan kerjasama dengan Anwar dan DAP tetapi memperkemaskan dalaman parti sendiri terutamanya dari segi kepemimpinan yang dilihat lemah dan memilih calon yang tepat untuk pilihan raya.

Apapun sebagai orang Melayu dan demi memperkukuhkan kembali kuasa politik orang Melayu, penulis berharap UMNO, Bersatu dan Pas boleh mencapai kesepakatan sebelum PRU-15, biarpun dari semasa ke semasa, harapan itu semakin pudar, bahana apabila sudah ada kuasa.

Tetapi harapan lebih besar penulis ialah Muafakat Nasional dipertahankan kerana ia dilahirkan atas keikhlasan demi perpaduan ummah, piagamnya dimeterai dengan linangan air mata umat Islam dan keampuhannya sudah terbukti mampu mengembalikan kekuatan kuasa politik orang Melayu. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan