26.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Covid-19: Lembah Klang terima tambahan katil 14 kali ganda

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Jumlah katil rawatan Covid-19 di Lembah Klang telah ditingkatkan hampir 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil pada 1 Oktober 2020 kepada 4,739 buah katil setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah katil itu melibatkan enam buah fasiliti iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), PKKN, ILKKM dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) di dua buah negeri.

Menurutnya, perancangan itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi melancarkan tadbir urus dan pengoperasian kesemua hospital dan PKRC di Selangor, WPKL (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)  dan Putrajaya, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dengan bantuan MKN telah menubuhkan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah.

“Ia akan diketuai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman dan dibantu oleh Dr. Sarah Shaikh Abdul Karim, Pakar Perubatan Kecemasan dari Hospital Sungai Buloh sebagai timbalan beliau,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dr Noor Hisham menjelaskan, pada peringkat awal gelombang ketiga pandemik Covid-19, KKM hanya menggunakan Hospital Sungai Buloh (HSgB) dan Hospital Kuala Lumpur sebagai hospital perawatan pandemik itu.

Ujarnya,  Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah bagi pesakit kategori 1 dan 2 di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya. 

Namun begitu katanya, peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di kawasan ini telah mengakibatkan hospital-hospital tersebut mencatatkan kadar penggunaan katil yang tinggi.

Advertisements

Justeru itu, sebagai langkah kesiapsiagaan lanjut bagi menampung kemasukan pesakit susulan lonjakan kes positif Covid-19 di negeri-negeri Lembah Klang, KKM telah mengambil langkah-langkah berikut:

1. Menambah jumlah katil rawatan Covid-19 sedia ada di HSgB (ditingkatkan kepada 630 buah katil).

2. Menambah jumlah katil rawatan Covid-19 sedia ada di HKL (ditingkatkan kepada 831 buah katil).

3. Menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada hospital hibrid Covid-19 dengan 230 buah katil Covid-19.

4. Membuka semula lapan (8) blok Institut Latihan KKM (ILKKM) Sg Buloh sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti 2,400 buah katil.

5. Meneruskan penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti semasa 648 buah katil.

“Diharap kerjasama padu KKM dan agensi-agensi lain serta penubuhan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah ini mampu melancarkan pengurusan wabak Covid-19 di Selangor, WPKL dan Putrajaya.

“Usahasama ini memerlukan koordinasi dan komunikasi yang jitu di antara semua agensi. KKM mengucapkan syabas dan terima kasih atas segala bantuan dan kerjasama rapat yang diberikan mereka,” tambahnya.  – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan