32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Darurat di Batu Sapi: Kehidupan rakyat tak terjejas – PM

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Darurat diisytiharkan di Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi, Sabah hanyalah bertujuan untuk membatal dan menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan perisytiharan darurat tersebut.

‘’Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi. Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta SOP di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang sedang berkuatkuasa di negeri Sabah.

‘’Saya bagi pihak Kerajaan Perikatan Nasional ingin memberi jaminan bahawa apabila pandemik COVID-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila PRK diadakan kelak, para pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas selepas Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Muhyiddin berkata, bagi pihak Jemaah Menteri,  beliau menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah yang telah memperkenankan nasihat Jemaah Menteri supaya darurat diisytiharkan di Parlimen Batu Sapi, Sabah. 

‘’Titah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku ini menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata yang saya percaya sentiasa dekat di hati Tuanku,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, jemaah menteri dalam mesyuaratnya pada 13 November lalu telah membincangkan secara terperinci akan kesan PRK Parlimen Batu Sapi jika diadakan pada masa pandemik Covid-19 masih menular di  Sabah. ‘’Dalam membuat pertimbangan ini, jemaah menteri mengambil kira kesan penularan Covid-19 di negeri Sabah susulan Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah yang diadakan pada bulan September  lalu.

‘’Data menunjukkan pada 12 September 2020, iaitu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Negeri Sabah, kes kumulatif Covid-19 di Sabah berjumlah 808 kes. Pada 26 September, iaitu pada hari mengundi, kes kumulatif Covid-19 di Sabah telah meningkat kepada 1,547 kes, iaitu peningkatan sebanyak 91.5 peratus,’’ katanya.

Beliau berkata, situasi penularan Covid-19 di Sabah menjadi lebih buruk apabila peningkatan berlaku secara mendadak dalam tempoh 4 minggu selepas hari mengundi. 

Kata beliau, pada 24 Oktober 2020, Sabah mencatatkan 11,285 kes kumulatif dan menjadi negeri pertama di Malaysia yang merekodkan jumlah kes Covid-19 melebihi 10,000 kes. Hari ini, Sabah masih mencatatkan jumlah kes kumulatif Covid-19 yang tertinggi di negara ini, iaitu sebanyak 24,269 kes dengan 181 kematian.

Perdana Menteri menjelaskan,  mengambil iktibar penularan Covid-19 susulan PRN Sabah, jemaah Menteri berpandangan lebih elok sekiranya PRK Parlimen Batu Sapi dapat dielakkan atas beberapa faktor.

‘’Pertamanya ialah faktor ancaman terhadap kesihatan awam. Pengalaman Pilihan Raya Umum Negeri Sabah menunjukkan bahawa pilihan raya yang diadakan ketika Covid-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak ini di dalam komuniti. Walaupun SOP yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, namun pematuhan kepada SOP didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak ini sukar dibendung,’’ katanya.

Kata Muhyiddin, faktor kedua, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas. 

‘’Risiko jangkitan dalam kalangan petugas pilihan raya tidak boleh dipandang ringan kerana mereka akan berurusan secara langsung dengan para pengundi yang berkemungkinan terdedah kepada wabak Covid-19. Disebabkan kebimbangan ini, setakat 6 November 2020, SPR hanya berjaya melantik 143 orang petugas pilihan raya, iaitu 17.1% sahaja berbanding 837 orang yang diperlukan bagi pelaksanaan PRK Batu Sapi.

‘’Ketiga, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan Covid-19 ke daerah-daerah lain di negeri Sabah. Sebagai contoh, pegawai-pegawai SPR yang berkhidmat di Kota Kinabalu akan bergerak ke Sandakan untuk membantu melaksanakan PRK Batu Sapi. Perjalanan mereka sejauh 370 kilometer akan melalui beberapa daerah seperti Tuaran, Ranau, Telupid dan Beluran. Daerah- daerah ini adalah daerah yang dikategorikan sebagai kawasan merah atau kuning,’’ katanya.

Muhyiddin turut menjelaskan, selain pergerakan pegawai SPR, para pengundi berdaftar di Parlimen Batu Sapi yang tinggal di daerah lain juga akan melakukan perjalanan merentas daerah bagi tujuan mengundi. 

‘’Walaupun kerajaan pada masa ini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB yang tidak membenarkan perjalanan rentas daerah, pergerakan pengundi rentas daerah tidak boleh dihalang kerana hak mereka untuk mengundi adalah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga akan meningkatkan risiko penularan Covid-19,’’ kata beliau.

Faktor keempat pula, kata Perdana Menteri ialah kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutamanya warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi. 

Kata beliau, daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas.

‘’Jika pilihan raya diadakan dan mereka keluar mengundi atau mengikuti aktiviti kempen pilihan raya, tiada jaminan bahawa mereka tidak akan terkena jangkitan Covid-19 yang boleh membawa maut. Sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, yang keutamaannya ialah untuk melindungi nyawa setiap rakyat, situasi seperti ini mestilah dielakkan,’’ katanya.

Muhyiddin menjelaskan, faktor kelima ialah kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi dan Daerah Sandakan sekiranya penularan Covid-19 berlaku secara mendadak selepas pilihan raya kecil diadakan. Pada masa ini pun, kesan ekonomi telah amat dirasai oleh rakyat yang terpaksa melalui kehidupan yang sukar. 

‘’Ada yang telah mengalami kehilangan pekerjaan dan putus mata pencarian akibat wabak ini. Kerajaan sedang berusaha untuk mengawal penularan Covid 19 terutamanya di negeri Sabah yang pada masa ini telah menunjukkan tanda-tanda yang agak positif dengan jumlah kes baharu semakin berkurangan.

‘’Kita tidak mahu berlaku lonjakan kes-kes baharu Covid-19 di Batu Sapi khususnya, dan di Sabah amnya sekiranya pandemik ini menular selepas PRK Batu Sapi diadakan. Ini tentu sekali akan menjejaskan usaha-usaha yang sedang dilakukan oleh para frontliners kita, yang sebahagian besarnya agak keletihan setelah sekian lama berhempas-pulas membendung wabak ini. Kasihanilah mereka yang bertungkus-lumus bersengkang mata siang dan malam untuk melindungi nyawa kita. Jangan kita sia-siakan pengorbanan mereka,’’ katanya.

Berdasarkan faktor-faktor ini, kata Muhyiddin,  jemaah Menteri berpandangan PRK Parlimen Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain lebih sesuai, iaitu apabila pandemik Covid-19 berakhir.

Sambil menjelaskan bahawa jemaah menteri telah mendapatkan pandangan peguam negara berhubung perkara itu, beliau berkata, mudah-mudahan langkah diambil oleh kerajaan itu adalah satu hikmah yang dapat membantu membendung wabak COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat. 

‘’Langkah ini juga adalah bertepatan dengan hasrat sebahagian besar rakyat yang tidak mahu pilihan raya diadakan semasa pandemik Covid-19 sedang melanda negara. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar pandemik ini segera berakhir dan kita semua dilindungi daripada sebarang musibah,’’ katanya. – Edisi 9

Terkini

MQA saran IPT lahirkan lebih ramai profesor praktis

KUALITI pendidikan tinggi negara akan terus meningkat dengan melahirkan lebih ramai 'professor of practice' atau profesor praktis. Ketua Pegawai Eksekutif...

Lagi Artikel Berkaitan