28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

FA ke FC: 10 perkara yang perlu dilakukan kelab MFL

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

PENULIS mahu merakamkan ucapan tahniah kepada FAM kerana ‘memaksa’ semua kelab bola sepak yang bersaing dalam Liga Malaysia menukar status daripada sebuah persatuan (FA) kepada kelab (FC).

Kini kelab-kelab terbabit tidak lagi bernaung di bawah persatuan bola sepak negeri masing-masing, sebaliknya sudah berdiri sendiri.

Walaupun keputusan FAM itu agak terlambat berbanding liga bola sepak lain di rantau ini, namun bak kata pepatah biar lambat daripada tiada langsung.

Berikut 10 langkah yang perlu dilakukan kelab-kelab bola sepak di negara ini jika mahu terus bertahan dan tidak ‘bungkus’ di tengah musim.

  1. Lantik individu yang dekat dengan bola sepak sebagai pengurusan tertinggi kelab, sebaiknya bekas pemain atau sekurang-kurang mereka yang minat dan tahu bermain bola sepak.
  2. Urus kelab bola sepak seumpama sebuah syarikat penyenaraian awam. Semua laporan kewangan dan pengurusan perlu dilaporkan secara telus.
  3. Bebaskan kelab bola sepak daripada pengaruh orang politik. Ini mengelak kelab dipergunakan oleh mereka úntuk kepentingan politik peribadi atau parti yang diwakili.
  4. Cari pelabur untuk melabur dalam kelab, bukan cari penaja. Ini kerana pelabur biasanya akan bertahan sehingga beberapa tahun jika kelab itu diyakini mempunyai prospek yang baik. Penaja biasanya hanya bertahan seketika, semusim dua sahaja.
  5. Sediakan sedikit peruntukan untuk mengeluarkan cenderamata berkaitan kelab seperti jersi, kemeja-T dan lain-lain. Cenderamata ini boleh menjadi sumber kewangan kelab, kalau tidak banyak sedikit.
  6. Jangan terima bulat-bulat mana-mana pihak mahu menaja kelab. Biasanya mereka minta sesuatu yang besar walaupun jumlah penajaan kecil. Misalnya jumlah tajaan kecil, minta letak logo syarikat di hadapan jersi pemain.
  7. Bina rangkaian media sosial dan kemas kini setiap masa. Jangan kedekut untuk melantik pentadbir (admin). Jumlah pengikut media sosial boleh menjadi ‘pasaran’ baik untuk kelab.
  8. Jangan tabur tiket percuma perlawanan kepada ahli keluarga, saudara-mara atau kawan-kawan. Setiap keping tiket amat berharga untuk kewangan kelab.
  9. Jangan ghairah beli pemain khususnya pemain import. Ukur baju di badan sendiri.
  10. Rancang kewangan untuk tempoh tiga hingga lima musim akan datang. Kelab tidak boleh bersifat kais pagi makan pagi.

Itu 10 perkara yang penulis cadangkan kepada pihak pengurusan kelab bola sepak di negara ini jika mahu bertahan untuk tempoh yang lama.

Anda boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana ini hanya pandangan penulis sebagai bekas pemain bola sepak (tidaklah sampai wakil mana-mana kelab atau negeri), peminat dan penyokong bola sepak.

Lastik! – Dah lama gantung but

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan