25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Usah gelisah menanti ‘gemparan’ politik Anwar Selasa ini

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APA akan berlaku Selasa ini apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara?

Persoalan paling besar, adakah benar Presiden PKR itu mempunyai cukup majoriti bagi membolehkan beliau menubuhkan kerajaan dan sekaligus mencapai impian beliau menjadi Perdana Menteri?

Soal Anwar memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong itu hak beliau sebagai Ketua Pembangkang.

Apa hasilnya sama-samalah tunggu tetapi berdasarkan perkembangan selepas pengumuman sensasi Ahli Parlimen Port Dickson itu pada 23 September lalu, penulis sangsi impian Anwar akan menjadi kenyataan.

Ia memandangkan nama-nama Ahli Parlimen yang didakwa akan menyokong Anwar bukan sahaja membuat kenyataan menafikannya malah ada antara mereka sudah membuat laporan polis.

Cuma apa yang menarik perhatian ialah pendirian Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat tidak tegas dalam berhadapan dengan dakwaan Anwar bahawa ada Ahli Parlimen UMNO akan menyokong beliau menubuhkan kerajaan.

Ahmad Zahid dalam reaksi pertamanya pada 23 September lalu menyatakan tidak boleh menghalang mana-mana Ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar. Kenyataan itu banyak mengundang perasaan tidak puas hati di peringkat akar umbi.

Mereka kata sepatutnya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membuat satu pendirian yang jelas dan tegas , bukannya pendekatan tunggu dan lihat.

Turut menyuarakan pandangan yang ‘agak keras’ terhadap sikap Ahmad Zahid itu ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menegaskan, sebagai Presiden, Ahmad Zahid perlu mengawal dan menentukan hala tuju parti agar wakil rakyatnya tidak membuat keputusan mahupun tindakan sesuka hati.

“Presiden perlu ada kawalan ke atas parti dan kepada wakil rakyat, mewakili parti dalam kerajaan, jangan buat sesuka hati kerana mereka orang parti. Itu perlu ada dalam kepimpinan kita, saya harap Presiden akan menginsafi balik peranan dan tanggungjawabnya.

“(Jika) betul kepimpinannya, dia (wakil rakyat) akan ikut. Jika ada yang tak ikut, kena tanya di mana salahnya,” kata Tajuddin seperti mana dilaporkan oleh portal Malaysiakini pada 3 Oktober lalu.

Kenyataan Tajuddin itu turut dikaitkan dengan gesaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sebelum itu meminta pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahlinya tentang bagaimana harus meneruskan kerjasama dengan saingan politik parti itu.

Kata Mohamad, satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ahmad Zahid sudah menjawab gesaan itu dengan menegaskan hala tuju parti selepas PRN Sabah akan dibincangkan dalam Biro Politik UMNO dan dibawa ke Majlis Tertinggi UMNO.

Menurut Ahmad Zahid, tidak sesuai beliau bercakap atau memutuskannya tanpa persetujuan bersama.

“Kita sedang melakukan post mortem menyeluruh. Pimpinan parti boleh beri pandangan,” katanya melalui akaun Twitternya pada 1 Oktober.

Kalau macam itu baguslah dan apa yang diharapkan pemimpin serta ahli UMNO ialah parti itu kekal berpegang kepada keputusan menolak kerjasama dengan DAP, Mahathir dan Anwar.

Ia kerana kerjasama dengan ketiga-tiga pihak itu sama sekali tidak akan menguntungkan UMNO.

Advertisements

Kalau ada mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang mahu menjadi pengkhianat dengan melanggar keputusan itu, silakan sahaja, tetapi mereka harus dipecat daripada parti.

Tetapi setakat ini penulis difahamkan tidak ada mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang akan berpaling tadah.

Diharapkan pendirian itu akan kekal kerana rakyat sudah muak dengan politik mahu bertukar-tukar kerajaan atau lebih tepat lagi pertarungan merebut kuasa kononnya atas alasan mengembalikan mandat rakyat.

Kalau melihat reaksi rakyat dalam media-media sosial ketika Anwar mengumumkan ada majoriti untuk tubuh kerajaan, hampir 90 peratus membantah dan mengecam langkah tersebut.

Tetapi itu hak Anwar untuk mendakwa apa sahaja, apa yang penting UMNO tidak boleh sama sekali terlibat dengan perancangan berkenaan, apatah lagi jika ia akan turut melibatkan kerjasama dengan DAP.

Kalau ada ahli Parlimen UMNO yang berniat berpaling tadah, terbuktilah mereka adalah ahli politik yang tidak ada maruah kerana pemimpin-pemimpin DAP awal-awal lagi sudah menolak sebarang kerjasama dengan ahli Parlimen UMNO.

Bagaimanapun berdasarkan laporan media agak jelas tidak akan ada ahli Parlimen UMNO akan memihak menyokong Anwar malah Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga sudah menyatakan perkara yang sama.

Jika berdasarkan kepada jumlah kerusi kedua-dua pihak tersebut, kita tidak pasti dari lubuk mana Anwar akan mendapat majoriti bagi menubuhkan kerajaan.

Tambahan pula, parti Pejuang yang mempunyai lima ahli Parlimen termasuk Tun Dr.Mahathir Mohamad nampak keberatan untuk bersama Anwar.

Parti Warisan pula yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah penyokong setia Dr. Mahathir, mereka pasti mengikut apa sahaja langkah politik Dr. Mahathir.

Setakat ini penulis difahamkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri cukup tenang menghadapi ‘gemparan’ politik Anwar.

Perdana Menteri sedang menumpukan perhatian bagi menangani usaha memerangi Covid-19 termasuk bagaimana mahu memastikan rakyat tidak akan terus terkesan dengan pandemik tersebut.

Pada masa sama, kerajaan khususnya Kementerian Kewangan sedang rancak membuat persiapan bagi pembentangan Bajet 2021, maknanya gempak-gempita yang dicetuskan oleh Anwar sedikit pun tidak mengganggu perancangan kementerian itu dalam menguruskan negara, begitulah juga kementerian-kementerian lain.

Justeru tenang-tenang sahaja, daripada kita menghabiskan masa bertanya-tanya apa perkara yang akan berlaku pada Selasa ini, lebih baik kita bersama-sama kerajaan menangani pandemik Covid-19 kerana itu lebih berfaedah. Ia disebabkan jika pandemik itu berterusan rakyat dan negara akan sengsara.

Apapun sebagai orang Islam, kita harus yakin sebaik manapun perancangan manusia, Allah SWT penentu segala-galanya. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud;

”Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki.

‘Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.’’

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan