29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Covid-19: PKPD asrama pekerja Tropicana, pengunjung One Utama dicari

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)  di asrama pekerja Tropicana dekat Petaling Jaya berikutan penularan Covid-19 yang membawa kepada penutupan Tropicana Golf Club & Country Resort.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di kawasan itu dibuat selama 14 hari berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam 12 Oktober.

PKPD yang dilaksanakan hingga 25 Oktober itu melibatkan sebanyak 500 penghuni asrama bagi tujuan pengesanan kontak dan saringan.

“Bagaimanapun PKPD hanya melibatkan asrama pekerja sahaja tanpa membabitkan  kawasan sekitar kelab golf dan kawasan perumahan sekitar,” katanya, hari ini.

Perkembangan itu menyusul selepas kerajaan  bersetuju kompleks beli-belah One Utama di Bandar Utama dan kelab golf, Tropicana Golf Club & Country Resort di sini, ditutup selama tujuh hari bermula 12 Oktober.

Penutupan ini bagi membolehkan proses saringan dan sanitasi dilaksanakan selepas kementerian memaklumkan kewujudan kes positif melibatkan pekerja di pusat beli-belah itu.


Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling Johary Anuar dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu akan bermula esok bagi tujuan saringan kontak rapat dan proses nyah kuman.


Katanya, orang ramai yang mengunjungi Bahagian Kosmetik dan Wangian di Aras G dalam Parkson Elite antara 30 September hingga 7 Oktober lalu dinasihatkan untuk hadir menjalani saringan.


Selain itu katanya, mereka yang mengunjungi Mac City di aras dua One Utama antara 25 September 2020 sehingga 30 September 2020 juga diminta menjalani saringan Covid-19.


Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan melakukan saringan di pusat beli-belah berkenaan pada 14 dan 15 Oktober ini bermula pukul 9.00 pagi sehingga pukul 2.00 petang.

Jelasnya, keutamaan proses saringan adalah kepada kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh seperti dinyatakan.

Sehingga kini terdapat empat kes positif di One Utama melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung manakala lima kes positif dikesan di kelab golf tersebut melibatkan lima orang pekerjanya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan