24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tiada darurat, Agong ingatkan ahli politik hentikan ‘politicking’

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Seri Paduka bertitah demikian selepas berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia bagi menangani ancaman wabak Covid-19.

“Sultan Abdullah juga berpendapat, tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan itu, Seri Paduka menegaskan, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Justeru tegas Seri Paduka, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada terus merebak,” kata beliau.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka telah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu.

Advertisements

Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 di negara ini.

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah juga amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” kata Ahmad Fadil.

Sehubungan itu, Seri Paduka menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak COVID- 19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara yang kita cintai bersama ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa semoga wabak COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan