26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Penduduk Putrajaya nikmati bas percuma 1 November

Mesti Baca


PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi agensinya Perbadanan Putrajaya (PPj) memperkenalkan perkhidmatan bas percuma bagi kawasan Putrajaya yang beroperasi pada 1 November ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan itu merupakan satu daripada inisiatif di bawah Wilayah Prihatin KWP bagi membantu rakyat khususnya warga Putrajaya dalam mengurangkan beban sara hidup dalam aspek pengangkutan serta memudahkan urusan di Putrajaya.

Pada masa sama katanya, kemudahan bas percuma tersebut akan menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang dapat membantu memulihkan ekonomi setempat.

“Kemudahan bas percuma ini hanya untuk warganegara Malaysia dan akan merangkumi kesemua laluan bas Nadi Putra sedia ada,” katanya hari ini.


Annuar berkata, inisiatif bas percuma yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM12 juta setahun ini sangat relevan dalam mengukuhkan kesalinghubungan yang cekap serta bermanfaat untuk kesejahteraan hidup rakyat terutama warga Putrajaya.


Ujar beliau, dengan tersedianya kemudahan ini, dijangka akan dapat meningkatkan sebanyak 50 peratus penumpang bas Nadi Putra bagi tahun 2021.


Selain itu, bagi meningkatkan perkhidmatan bas percuma tersebut, Annuar berkata, laluan dan kekerapan bas Nadi Putra telah dibuat penyusunan semula melibatkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.


“Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 diperkenal yang bermula di Kompleks E dan akan melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4.


“Kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap 5 minit pada waktu puncak (jam 6.30 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 6.40 petang), setiap 10 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit untuk waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Sebanyak 11 laluan perkhidmatan selebihnya akan melalui kawasan perumahan, komersial dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4 dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum,” katanya.

Selain Putrajaya Sentral sebagai stesen utama, dua buah hentian iaitu di Kompleks E, Presint 1 dan di Dataran Gemilang, beliau berkata, Presint 4 juga dijadikan sebagai transit yang menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan perkhidmatan yang lain bagi memudahkan penumpang.


Sementara itu, Annuar berkata, KWP dan PPj dengan komitmen jitu daripada syarikat yang mengurus dan mengendalikan operasi bas Nadi Putra, Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) juga akan membuat penambahan bas sehingga menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 40 buah bas iaitu 37 buah bas diesel dan 3 buah bas elektrik secara berperingkat bermula tahun hadapan.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan