31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nak buat usul tak percaya ke atas Muhyiddin, lepas tu siapa PM?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEMBANG BERSAMA TAN SRI (1)

MUKADIMAH

Semalam penulis berkesempatan berbual panjang dengan seorang ahli perniagaan bergelar ‘ Tan Sri’. Beliau bukanlah ahli perniagaan biasa tetapi ternama dan cukup dikenali termasuklah dalam kalangan ahli politik.

Pertemuan kami di sebuah restoran capati terkenal di Bukit Damansara, Kuala Lumpur bukan bercakap soal perniagaan, jauh sekali soal naik jatuh saham.

Kami bersembang panjang mengenai suasana politik tanah air. Sambil menghirup dua gelas teh limau panas, ‘Tan Sri’ memberi pandangan mengenai pergolakan yang sedang berlaku. Pada wajahnya nampak keresahan, cara beliau berbicara menunjukkan hatinya dibaluti kekecewaan dan perasaan marah serta geram menyelubungi dirinya.

Oleh kerana beliau adalah ahli perniagaan, mungkin ramai beranggapan, ‘Tan Sri’ bimbang dengan nasib perniagaannya, ‘Tan Sri’ resah jika sahamnya jatuh’ dan ‘Tan Sri’ marah kerana beliau tidak akan lagi mendapat projek akibat apa yang berlaku.

Tetapi bukan itu yang ‘Tan Sri’ bimbangkan’, bukan itu yang beliau marah dan geram.

Yang diresahkan dan dibimbangkan oleh ahli perniagaan yang akan berusia 70 tahun pada tahun depan itu ialah pergolakan politik ketika ini sehingga tercetus gerakan mahu membentangkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat.

Bagi ‘Tan Sri’, ia akan merugikan dan menjejaskan kekuatan politik orang Melayu sehingga akan memungkinkan DAP akan berkuasa semula.

‘Tan Sri’ kecewa, marah dan geram kerana pergolakan itu akhirnya akan menyeret rakyat jika benar ada parti politik mahu menolak Bajet 2021 yang akan dibentangkan oleh kerajaan dalam sidang Dewan Rakyat pada November ini.

Namun ‘Tan Sri’ yakin atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menangani kemelut yang berlaku apabila tiba masanya baginda perlu campur tangan.

Penulis akan mencoretkan dalam tiga siri hasil perbualan selama hampir 2 jam dengan ‘Tan Sri’ yang bukan sahaja kawan baik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad tetapi juga mempunyai hubungan baik dengan ahli politik tidak kira pembangkang mahupun kerajaan itu.

Berikut siri pertama pandangan ‘Tan Sri’ :

Beberapa parti termasuk parti pejuang yang dipimpin oleh Dr.Mahathir nak buat usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. Sayang sekali yang buat ni ialah ahli Parlimen Melayu.

Untuk apa? Apakah semata-mata untuk menjatuhkan Muhyiddin? Selepas itu siapa yang hendak menjadi Perdana Menteri? Siapa pengganti? Apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi? Adakah Tengku Razaleigh Hamzah, Dr.Mahathir atau nak lantik semula Datuk Seri Najib Tun Razak?

Anwar semua orang tahu keghairahan beliau mahu menjadi Perdana Menteri, Ahmad Zahid dan Najib ada kes mahkamah tak tahu bila nak selesai, Tengku Razaleigh bagi saya hanya mengambil kesempatan manakala Dr.Mahathir pula, tidak masuk akal bila parti Perjuang mencalonkan beliau untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Saya bukan mahu menyebelahi sesiapa. Saya ada ramai kawan politik, dalam kerajaan dan pembangkang. Saya bercakap berdasarkan fakta dan pendangan rakyat yang sudah muak dengan mainan orang politik.

Muhyiddin sudah melakukan kerja dengan baik. Beliau bertungkus lumus menguruskan rakyat dan negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Negara sekarang tengah susah, rakyat tengah sengsara. Tapi malangnya, masing-masing dok nak jatuhkan Muhyiddin.

Beliau patut dibantu bukannya dijatuhkan. Apa ‘dosa’ Muhyiddin sampai nak singkir beliau sebagai Perdana Menteri. Kalaulah parti-parti tidak boleh memberi seorang calon yang lebih baik daripada Muhyiddin, sudahlah…tak payahlah nak buat usul tidak percaya.

Usul tidak percaya ni hanya bermotif politik dan tidak akan menguntungkan orang Melayu apatah lagi akan mampu mencari pengganti yang lebih baik daripada Muhyiddin untuk jadi Perdana Menteri, buat masa ini. Kalau betul ada calon untuk ganti Muhyiddin, tunjukkan kepada kita , siapa orang itu?

Yang kita bimbang semua parti-parti khususnya parti Melayu, tidak ada majoriti.

Akhirnya yang akan mengambil kesempatan dan akan meraih keuntungan adalah DAP. Sekarang DAP tak buat apa-apa, mereka tengok sahaja pemimpin-pemimpin Melayu dok jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.

Mungkin ahli-ahli politik Melayu yang dok ghairah nak jatuhkan Muhyiddin ni tak sedar, bila mereka bergaduh sesama sendiri, ada kawan saya yang bukan Melayu berkata, betul lah MARA itu untuk orang Melayu, ‘Melayu Akan Runtuh Akhirnya!’. Dengar macam tu, kita mungkin marah, kita mungkin sakit hati tapi sapa puncanya?

Bukankah ia disebabkan oleh pemimpin Melayu sendiri? Bila tak ada kuasa selama 22 bulan, berpakat untuk berkuasa, bila ada kuasa nak jatuhkan pula pemimpin Melayu.

Kalaupun Muhyiddin jatuh sekalipun, belum tentu politik kita aman, jadi saya fikir parti-parti yang hendak mengemukakan usul tidak percaya ini, tidak payahlah menyusahkan rakyat. Bantu Muhyiddin untuk tangani pandemik Covid-19, tu lebih baik.

Nak berpolitik tunggulah pilihan raya, sekarang bukan masanya, kecualilah pemimpin Melayu hendak biarkan ‘MARA’ menjadi kenyataan.

ESOK: Tolak Bajet – Sengsara untuk rakyat, petaka untuk parti politik

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan