23.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 28, 2021

Jika benar ‘No Anwar, No DAP’, UMNO bantulah Muhyiddin

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


KETIKA krisis politik kali pertama berlaku pada Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah telah berjaya menyelesaikannya dengan penuh kebijaksanaan.

Seri Paduka mengadakan sesi menghadap bukan sahaja melibatkan ketua-ketua parti tetapi kesemua 22 ahli Parlimen bagi mengetahui secara bersemuka siapa yang mereka sokong untuk menjadi Perdana Menteri.

Pendekatan itu dibuat kerana Seri Paduka ingin memastikan bahawa sokongan yang diberikan atau dinyatakan sama ada melalui dokumen mahupun akuan bersumpah kepada ketua-ketua parti benar-benar diketahui oleh ahli Parlimen terlibat.

Akhirnya krisis itu selesai apabila Seri Paduka memutuskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hemat baginda mungkin mempunyai majoriti sokongan anggota Dewan Rakyat.

Sejak pelantikan itu, ahli-ahli politik khususnya Pakatan Harapan (PH) mula bermain dengan angka. Siang malam asyik menghitung berapakah majoriti yang dimiliki oleh Muhyiddin.

Sepatutnya apabila Seri Paduka sudah membuat keputusan, semua parti politik sama ada kerajaan dan pembangkang tidak lagi berbicara soal angka tetapi menumpukan perhatian berkhidmat untuk rakyat dan membangunkan negara.

Namun politik memburu angka itu tidak berakhir, sebaliknya apabila mereka mengetahui bahawa Muhyiddin mempunyai majoriti tipis, maka mulalah gerakan dan gangguan dilakukan bagi memastikan pada sidang Dewan Rakyat pada 2 November ini, Muhyiddin dapat disingkirkan.

Tindakan UMNO untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan ternyata membuka ruang terbaik untuk misi itu dilunaskan. Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama empat lagi Ahli Parlimen dari parti Pejuang ‘tumpang semangkuk’ mengemukakan usul tidak percaya kepada Muhyiddin, turut berbuat demikian ialah Amanah.

Soalnya kenapakah masih mahu bermain politik seumpama itu? Al-Sultan Abdullah sudah bertitah supaya ahli politik menyelesaikan kemelut yang berlaku secara rundingan dan tidak menyeret sekali lagi negara ke dalam krisis politik.

Bagaimanapun setakat ini tidak ada tanda-tanda kemelut boleh diselesaikan secara rundingan.

Baca juga:   Wan Ahmad Fayshal tak perlu jadi Syed Saddiq kedua

Satu pihak terus mengejar angka bagi mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri, satu lagi pihak menuntut jawatan dengan bersandarkan teori jangan sampai ‘ular lidi makan ular sawa’ manakala satu lagi pihak menanti masa meraih keuntungan tanpa perlu berbuat apa-apa.

Politik bermain angka ini harus dihentikan kerana ia hanya mendatangkan kesusahan kepada rakyat dan negara. Dalam keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 sepatutnya tidak kira berapapun angka yang dimiliki oleh Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri beliau harus dibantu.

Dari segi pengalaman pentadbiran dan politik sejak 1978 dari Setiausaha Parlimen hinggalah Timbalan Perdana Menteri serta menjadi Menteri Besar Johor, Muhyiddin cukup layak menjadi Perdana Menteri.

Baca juga:   Kijang sama kijang berlaga, singa juga yang kenyang

Soal angka boleh diselesaikan kemudian dalam pilihan raya, apa yang penting ketika ini bersama pulih negara.

Yang bercakap soal ular lidi menelan ular sawa ini, fahamilah mereka sebenarnya sedang membuka laluan kepada DAP untuk berkuasa semula.

DAP ketika ini hanya berdiam diri, mereka hanya memerhati sahaja ‘kejahilan’ gerakan politik sesetengah pemimpin UMNO.

Dulu pemimpin UMNO juga berang dan marah dengan menteri-menteri daripada Pakatan Harapan. Mereka juga mendakwa dulu Lim Guan Eng dengan dibantu oleh Tony Pua cukup berkuasa di Kementerian Kewangan.

Mereka juga dulu mempersoalkan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan mereka juga cukup marah dengan pelbagai tindakan Kerajaan PH yang dianggap membelakangkan kepentingan Melayu.

Tetapi sekarang tidakkah tindakan politik mereka akan menyebabkan Guan Eng, Tony dan Mohamad Sabu ‘berkepak’ semula?

Oleh itu kalau betul mereka berpegang kepada pendirian ‘No Anwar, No DAP’, maka bantulah Muhyiddin menguruskan negara.

Tidak salah untuk membuat tuntutan tetapi janganlah sampai ke tahap dilihat mengugut. Penulis percaya, ada pemimpin UMNO yang tidak senang dengan tindakan parti itu.

Ada sumber memberitahu penulis bagaimana, ada pemimpin kanan parti itu mengingatkan, apakah UMNO masih belum serik selama 22 bulan berada di bawah kerajaan didominasi DAP?

Baca juga:   63 premis gagal patuh SOP PKP diarah tutup

Kenapa perlu mencetuskan konflik dalam Perikatan Nasional yang akhirnya akan memberi ruang kepada Anwar yang disokong oleh DAP berkuasa kembali.

Semua pemimpin UMNO perlu istiqamah dengan pendirian ‘No Anwar, No DAP’. Jika penafian terhadap surat yang kononnya ditulis oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi diambil kira maknanya Anwar tidak ada majoriti.

Sebab sebelum ini Anwar memberitahu bahawa sokongan beliau untuk menubuhkan kerajaan turut datang daripada UMNO.

Apakah yang mendorong Anwar membuat kenyataan yang begitu berani? Atau mungkinkah ada mainan di belakang tabir yang melibatkan segelintir pemimpin atau ahli Parlimen UMNO? Banyak persoalan yang timbul?

Baca juga:   Golongan tolak pelawaan bersatu-padu kelompok gila kuasa

Namun buat seketika kita berpegang kepada kenyataan UMNO bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Justeru atas semangat itu, mereka perlu membantu Muhyiddin untuk menguruskan negara, khususnya dalam memerangi Covid-19 dan kegawatan ekonomi.

Hentikan gertakan atau gerakan politik yang akhirnya akan menyusahkan rakyat.

Tidak payah membuat kenyataan bernada ugutan seperti tidak akan menyokong bajet yang akan dibentangkan oleh Muhyiddin pada November ini, semua itu hanya akan menyebabkan rakyat ‘menyampah’ kepada UMNO.

Apa akan jadi jika belanjawan yang dibentangkan benar-benar memberi tumpuan untuk mesejahterakan rakyat yang sudah cukup susah akibat Covid-19?

Adakah UMNO rela menolaknya semata-mata kerana tidak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan portfolio penting dalam Kabinet?

Justeru dengarlah nasihat Al-Sultan Abdullah supaya jangan menyeret negara ini ke kancah kemelut politik sekali lagi.

Seri Paduka adalah seorang raja yang bijaksana dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

Sudah pasti Seri Paduka tidak akan membiarkan rakyat baginda menderita hanya kerana ahli-ahli politik tidak sudah-sudah berebut kuasa.

Terkini

Langgar peraturan: Polis siasat kenderaan timbalan menteri

CYBERJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan menyiasat sebuah kenderaan dipercayai milik seorang timbalan menteri kerana memotong di...

Lagi Artikel Berkaitan