ANKARA – Gempa bumi kuat yang berlaku di Laut Aegean dan menggegarkan pantai Turki dan pulau Greece turut mencetuskan tsunami kecil di bandar Izmir, barat Turki, semalam.
Gempa sekuat 6.6 magnitud itu mengakibatkan 22 kematian setakat ini iaitu 20 orang di Turki dan dua lagi di Pulau Samos, Greece manakala hampir 800 orang mangsa dilaporkan cedera di Turki serta 19 orang cedera di negara jirannya itu.
Gabenor Izmir, Yavuz Selim Kosger berkata, gempa bumi mencetuskan tsunami di sebahagian kawasan pantai daerah Seferihisar yang mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang penduduk cedera.

Rakaman video yang tular di media sosial merakamkan bandar Izmir dinaiki air yang menghanyutkan perabot dan serpihan bangunan.
Orang ramai turut berjaya merakam detik-detik sebuah bangunan runtuh akibat gegaran kuat itu di Izmir.
“Saya fikir adakah ia Akan berhenti? Gegaran dirasai selama 10 minit seolah-olah ia tidak akan berhenti.
“Saya amat takut bukan untuk diri saya sahaja malah saya memikirkan nasib keluarga, isteri dan anak saya Yang baru berusia empat tahun,” kata seorang penghantar barang, Gorkhan Kan, kepada AFP.
Datuk Bandar Izmir, Tunc Soyer berkata, sebanyak 20 bangunan runtuh dengan pasukan penyelamat memberi tumpuan pada 17 bangunan itu.
Pihak berkuasa pengurusan kecemasan dan bencana (AFAD) berkata, sekurang-kurangnya 196 gempa susulan dengan 23 daripadanya bermagnitud lebih 4.0 direkodkan selepas gempa tersebut.
Agensi berita Turki Anadolu yang memetik Menteri Alam Sekitar dan Urbanisasi, Murat Kurum berkata, sebanyak 1,227 anggota pasukan mencari dan penyelamat kini bertugas di lapangan.
Katanya, banyak penduduk terperangkap dalam runtuhan lima bangunan di Izmir dan beliau sedang bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut AFAD, gempa berlaku pada pukul 2.51 petang waktu tempatan pada kedalaman 16 kilometer.

Usaha menyelamat tertumpu di sekitar 17 bangunan yang musnah dan rosak di bandar yang dihuni 4.3 juta penduduk, bandar ketiga terbesar di Turki dari segi jumlah penduduk.
Gabenor Istanbul, Ali Yerlikakaya berkata, gegaran gempa itu turut dirasai di kota metropolis itu namun tiada kerosakan serius berlaku.
Menurut Menteri Dalam Negeri, gempa turut dirasai di beberapa wilayah berjiran termasuk Usak, Denizli, Manisa, Balikesir, Aydin dan Mugla yang mengakibatkan kerosakan kecil pada beberapa bangunan.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut bersolidariti dan berkata, Turki berdiri teguh bersama penduduk yang terjejas dengan gempa bumi itu.
“Kita bertindak dengan memulakan kerja-kerja penting di bandar itu bersama Institusi berkaitan termasuk Menteri,” tambahnya. – AGENSI