29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Najib ‘ajar’ kerajaan kaedah pengeluaran akaun 1 KWSP bantu rakyat

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun kerajaan sukar untuk membenarkan pengeluaran akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun ia tidak mustahil untuk dilakukan.

Menurut bekas perdana menteri itu, jika KWSP atau kerajaan bimbang dengan tekanan ke atas pasaran bon tempatan akibat pencairan bon sehingga nilai RM45.7 bilion (berdasarkan hasil darab jumlah 4.57 juta pencarum yang diluluskan untuk Skim i-Lestari KWSP dengan pengeluaran RM10,000) dalam masa yang singkat untuk pembiayaan skim pengeluaran one-off ini, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh membantu.

NAJIB RAZAK

Beliau menjelaskan, ini disebabkan BNM menerusi kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dibenarkan untuk membeli bon dari pasaran tempatan jika diperlukan.

“Langkah BNM ini tidak berbahaya sebab Malaysia dan dunia kini dalam zaman inflasi negatif akibat ekonomi yang tertekan.

“KWSP juga boleh memilih untuk membayar pengeluaran one-off ini secara bulanan dalam tempoh 3 bulan atau 6 bulan.

“Dan bila duit ini sampai ke rakyat terdesak dan dibelanjakan, ekonomi tempatan juga dirancakkan,” tulisnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Najib memberitahu, ada yang bimbang bahawa KWSP akan tertekan dari segi aliran wang tunai jika kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan “one-off” sehingga RM10,000 dari akaun satu.

Namun katanya, apabila beliau membuat saranan itu setelah diminta ramai rakyat, beliau juga pertimbangkan kemampuan KWSP dan kerajaan serta jumlah pencarum yang mungkin memerlukan skim ini.

“Ini zaman norma baharu. Sebab itu, norma baharu dan kaedah baharu juga diperlukan dalam pendekatan kerajaan untuk membantu rakyat serta merancakkan ekonomi.

“Sukar untuk membenarkan tak bermaksud mustahil untuk dilakukan.Nak, seribu daya.

“Pada masa depan setelah ekonomi pulih apabila krisis Covid berlalu, barulah kerajaan dan pencarum cari jalan untuk pulihkan simpanan usia tua kita di KWSP,” jelasnya.

Sementara itu, Najib berkata, seramai 4.57 juta pencarum telah diluluskan untuk Skim i-Lestari KWSP pakej prihatan kerajaan yang membenarkan pengeluaran bulanan dari akaun 2 KWSP.

Ujarnya, dalam tempoh lima bulan dari April hingga Ogos 2020, jumlah pengeluaran i-Lestari adalah sebanyak RM7.48 bilion.

“Saya jangka jumlah pencarum yang mahu pengeluaran one-off akaun 1 juga sekitar jumlah yang diluluskan skim i-Lestari.

“Itupun jika semua mahu atau layak untuk mengeluarkan sebanyak RM10,000. Ada yang mungkin mahu jumlah lebih kecil untuk keperluan terdesak,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, agak sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun satu KWSP untuk digunakan rakyat yang kini berdepan pandemik Covid-19.

Menurutnya, beliau bimbang sekiranya langkah tersebut diambil, ia akan memberikan masalah lebih besar pada masa hadapan buat mereka yang telah mengeluarkan simpanan KWSP yang masih berbaki. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan