23.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, January 18, 2025

Gara-gara PKPB, 118 bakal pengantin serbu pejabat kadi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Klang, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang diserbu 118 pasangan bakal pengantin yang ingin mendirikan ‘masjid’ semalam.

Situasi luar jangka di PAID itu ibarat majlis graduasi universiti yang kemudiannya dirakam oleh seorang jurugambar, Sheikh Ameer Haziq, 24, dari Klang yang kemudian memuat naik gambar berkenaan dalam media sosial.

Kata jurugambar itu, dia melihat pasangan pengantin beratur panjang sehingga ke perkarangan pejabat agama terbabit semasa dia tiba di premis tersebut pada pukul 6 petang.

Menurutnya, lebih 40 pasangan ada ketika itu, dan dia difahamkan, setiap pengantin diberikan waktu tertentu untuk akad nikah termasuk kliennya yang dinikahkan pada pukul 9.30 malam.

“Ini kali pertama saya lihat suasana ini sepanjang enam tahun jadi jurugambar. Saya tidak menyangka begitu ramai pasangan (hadir ke pejabat agama) seperti malam tadi.

“Malah, saya turut difahamkan, ada pasangan sepatutnya bakal nikah minggu hadapan tetapi dipercepatkan kepada semalam,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya sudah bersedia lebih awal kerana sudah menjangkakan keadaan itu akan berlaku.

“Alhamdulillah, 118 pasangan pengantin selamat mendirikan ‘masjid’. Mereka dinikahkan secara berperingkat oleh lima Pendaftar Perkahwinan Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

“Sejak awal lagi saya sudah menjangka ia berlaku dan meminta semua pegawai di Klang bersedia. saya turut menetapkan majlis akad nikah perlu diselesaikan sebelum pukul 12 tengah malam.

“Kalau ada keperluan selepas ini, JAIS akan melaksanakannya, bagaimanapun kami jangka ia tidak akan berlaku seperti malam tadi,” katanya

Sementara itu, pasangan pengantin baharu, Nur Emira Khaleeda Abdul Rahman, 24, tidak menyangka hari bahagia dia dan suaminya, Ahmad Rafhan Syahmi Shafiee yang dijadualkan Sabtu ini ‘terpaksa’ diawalkan, semalam.

Nur Emira Khaleeda Abdul Rahman dan suaminya, Ahmad Rafhan Syahmi Shafiee dinikahkan di PAID Klang, semalam.

Katanya, majlis pernikahan mereka terpaksa dilangsungkan beberapa jam sebelum pelaksanaan PKPB di saat dia masih bekerja dan keluarga pihak lelaki pula tinggal di Kedah.

Advertisements

“Sepatutnya saya kahwin pada 10 Oktober tetapi Pejabat Agama Islam Daerah Klang telefon dan minta saya nikah 8 Oktober, iaitu semalam.

“Bayangkan, saya tengah kerja dan dapat panggilan untuk balik siapkan diri sebab kena nikah.

“Ramai pula tu (pengantin) di pejabat agama. Semua geng kahwin last minute,” katanya yang dipetik Malaysiakini hari ini.

Menurut Nur Emira, dia diberi pilihan oleh Paid iaitu sama ada bernikah lebih awal atau membuat permohonan baru di Shah Alam nanti.

“Tetapi proses itu lagi merumitkan sebab kena buat permohonan pernikahan di luar daerah pula,” katanya yang merupakan seorang kerani akaun.

Susulan perubahan itu, Nur Emira berkata keadaan menjadi agak “kelam kabut” dengan beberapa perkara yang sudah dirancang tidak dapat dilaksanakan.

“Kelam kabut sebab keluarga mentua saya tak sampai Selangor lagi. Mereka dari Kedah tapi jangan risau, bukan kawasan zon merah. Bayangkan keluarga saya kena datang untuk pernikahan mendadak seperti ini.

“Suami saya pula ke pasar raya untuk beli kasut sebelum akad nikah,” katanya sambil ketawa.

Majlis persandingan yang juga dijadual berlangsung pada Sabtu malam pula terpaksa ditangguhkan.

“Saya tak dapat nak buat persandingan. Nasib baik perancang perkahwinan, jurumekap dan orang lukis inai faham dan mereka beri kami tukar tarikh,” katanya lagi.

Meskipun dengan pelbagai perkara di luar jangka itu, Nur Emira tetap menyuarakan rasa syukur kerana pernikahannya tetap dapat dilangsungkan.

“Alhamdullilah semuanya berjalan lancar dan kami kini bergelar suami isteri,” katanya lagi.

Advertisements

Terkini

Lima beregu negara melangkah bergaya ke separuh akhir

LIMA beregu negara masing-masing dua beregu lelaki, dua beregu campuran dan satu beregu wanita melangkah bergaya ke separuh akhir...

Lagi Artikel Berkaitan