27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

300,000 Musang King terjual kurang sejam di China

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Sebanyak 300,000 biji durian jenis Musang King berjaya dijual dalam tempoh kurang sejam dalam satu jualan dalam talian kilat di China, semalam.


Memetik laporan South China Morning Post, jualan itu merupakan sebahagian daripada Festival Durian Dalam Talian China-Malaysia (Guangxi) 2020 di bandar Qinzhou, China.

Dengan berat keseluruhan durian kira-kira 60 tan, kesemua 300,000 durian itu dijual dalam masa 50 minit dan 48 saat.
Rekod jualan keseluruhan durian itu bersamaan RM61.2 juta.

Perkara itu diumumkan semasa pelancaran festival durian yang dikendalikan daripada tiga lokasi iaitu Qinzhou, Kuala Lumpur dan Raub.

Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, beliau percaya eksport durian Malaysia ke China menyumbang kepada hubungan dagang dua hala antara kedua-dua negara.

Menurutnya, mengikut statistik, China mengimport sebanyak 600,000 tan durian bernilai RM7 bilion tahun lalu dengan 7,700 tan bersamaan RM278 juta datang dari Malaysia.

“Di sebalik penularan pandemik Covid-19, saya percaya permintaan untuk durian dari Malaysia tidak akan terancam,” katanya di sini semalam.

Ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Majlis Perniagaan Malaysia-China, Datuk Fong Tian Yong.

King Sing menambah, Malaysia sewajarnya mengekalkan angka pertumbuhan itu meningkat bagi memanfaatkan kedua-dua negara khasnya dalam aspek ekonomi, sumber asli, budaya dan perkongsian ilmu.

China mengimport sebanyak 3,200 tan isi dan pes durian dari Malaysia pada 2018 bersamaan RM170 juta.


Naib Pengerusi Taman Industri Qinzhou China-Malaysia, Datuk Beh Hang Kong berkata, mereka menerima kemungkinan untuk mewujudkan hab durian Malaysia di kawasan perindustrian berkenaan.

Menurutnya, hab itu akan merangkumi semua urusan daripada rantaian bekalan, logistik, pemprosesan, industri hiliran sehingga sebuah bazar durian kekal.

Daripada kajian kami, hanya kira-kira tiga peratus penduduk China pernah mencuba durian Malaysia.

“Saya percaya durian bakal menjadi eksport terbesar dari negara kami dan dengan sokongan kerajaan, mereka akan melihat peluang pasaran sebesar RM4.15 bilion,” katanya.

Terkini

Warga Israel bersama 6 pucuk senjata api ditahan

SEORANG lelaki warga Israel ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang,...

Lagi Artikel Berkaitan