24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

‘Musang King’ ada pelekat SIRIM, kod QR

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SIRIM Berhad melalui anak syarikatnya, SIRIM Tech Venture (STV) bekerjasama dengan syarikat DSR Taiko Berhad dalam pembangunan teknologi melibatkan durian Musang King.

Kerjasama tersebut melalui penyerahan Laporan Kajian Kebolehlaksanaan Pasaran; DSR01:2022 Standard DSR Durian Musang King dan Sistem Penjejakan Bersepadu Musang King (MKITS) kepada syarikat DSR Taiko Berhad hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata kerjasama pintar bersama syarikat berkenaan adalah contoh penyelesaian perniagaan holistik dari dusun durian Musang King kepada pengguna.

Menerusi kerjasama itu, Ahmad Sabirin berkata STV menjalankan kajian kebolehlaksanaan pasaran untuk mengukur permintaan, peluang dan cabaran industri durian di peringkat global dalam membantu DSR Taiko Berhad bagi proses perancangan perniagaan, kepelbagaian dan pengembangan pasaran.

Sementara itu, DSR01:2022 Standard DSR Durian Musang King dibangunkan oleh SIRIM STS, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad merangkumi keperluan dalam memastikan kualiti dan keaslian durian Musang King keluaran DSR Taiko Berhad termasuk pemilihan bahan penanaman, pengurusan dusun, keperluan produk, ciri-ciri buah dan aktiviti selepas tuai boleh dikesan daripada pokok dan ladangnya, katanya.

“MKITS pula menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (loT) turut dibangunkan oleh Penyelidikan Perindustrian SIRIM disesuaikan dengan dusun Durian Musang King DSR Taiko Berhad yang membolehkan buah durian dan produk hiliran dikesan daripada punca dan lokasi pokok.

“Sistem ini memastikan pemantauan berkesan sepanjang proses pengeluaran dan pengangkutan raja buah berkenaan dan dilengkapi dengan papan pemuka untuk tujuan pelaporan operasi serta pengurusan yang boleh diakses oleh pengguna pada sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Pelancaran Penyelesaian Perniagaan Holistik SIRIM-DSR dari Dusun kepada Pengguna bagi Durian Musang King di Ibu Pejabat SIRIM Berhad di sini hari ini.

Advertisements

Tambah Ahmad Sabirin, ketiga-tiga projek berkenaan adalah bukti kejayaan strategi serampang dua mata antara Kumpulan SIRIM Berhad dan industri, melalui STV yang menyumbangkan teknologi dan kepakarannya kepada DSR Taiko Berhad bagi memartabatkan industri durian Musang King ke tahap pertumbuhan positif serta memberi nilai tambah di sepanjang rantaian nilai durian.

“SIRIM mempunyai pelbagai kemudahan dan keupayaan yang kami tawarkan antaranya penyelidikan dan pembangunan, pembangunan standard industri, latihan, pengujian dan pensijilan, reka bentuk sekuriti dan pembangunan usahawan.

“Kami yakin dapat membantu lebih banyak syarikat mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif DSR Taiko Berhad, Datuk Ng Lian Poh berkata ketiga-tiga projek berkenaan membawa impak positif kepada syarikat terutamanya dalam mewujudkan standard industri dan membuka peluang antarabangsa melalui kebolehkesanan.

Katanya buah durian keluaran syarikatnya yang dilengkapi dengan sistem MKITS menjadi pencapaian terbesar DSR Taiko Berhad yang pertama seumpamanya bagi industri durian Musang King di Malaysia.

“Perjalanan yang kami tempuhi ini panjang, tetapi kami tidak sabar untuk menjadikan spesies raja buah ini sebagai kebanggaan Malaysia di seluruh dunia. Kami yakin pertumbuhan industri pertanian ini akan terus meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

DSR Taiko Berhad adalah syarikat bersepadu durian ke pasaran dengan pengetahuan mendalam terhadap pengurusan dusun dan kini mempunyai ladang di Raub dan Bentong, Pahang yang berkeluasan kira-kira 40.47 hektar.

-BERNAMA

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan