29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

22 bulan sengsara, apakah UMNO masih belum insaf?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

KITA tidak pasti apa kesudahan episod ‘ancaman’ UMNO untuk menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional.

Mungkin esok segala-galanya akan terjawab apabila Majlis Tertinggi parti itu dijadualkan bermesyuarat.

Namun apapun keputusannya, UMNO harus memperbaiki imej yang sudah ‘terjejas’.

‘Gertakan’ yang dilakukan telah memburukkan imej parti tersebut di mata rakyat dan seolah-olah UMNO tidak pernah insaf dengan apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Lupakah dalam PRU itu, UMNO dan BN tumbang selepas 61 tahun berkuasa?

Selama 22 bulan UMNO berada di blok pembangkang, mereka hanya mampu memerhatikan gelagat pemimpin Pakatan Harapan yang memegang tampuk kekuasaan.

Dalam tempoh 22 bulan itu macam-macam berlaku dan ada antaranya menggores perasaan orang Melayu.

Ketika itu pemimpin UMNO hanya boleh membantah dan berasa marah, tetapi UMNO tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka tiada kuasa.

UMNO hanya mampu ‘angkat kepala’ sedikit apabila menang satu demi satu pilihan raya kecil dengan bantuan Pas.

Dan UMNO semakin ‘mendongak’ apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menjemput parti tersebut menyertai Kerajaan Perikatan Nasional.

Muhyiddin menjemput UMNO atas niat untuk membentuk satu kerajaan yang berteraskan kepemimpinan Melayu Bumiputera di samping merangkul parti-parti bukan Melayu lain.

Pembentukan kerajaan itu melegakan orang Melayu apatah lagi enam bulan sebelum itu UMNO menandatangani Piagam Penyatuan Ummah yang memungkinkan terlahirnya Muafakat Nasional, maka sudah lengkaplah pakej untuk persiapan mengembalikan kuasa politik Melayu dalam PRU-15. Tetapi malangnya harapan itu kini terumbang ambing.

Oleh kerana menguasai 39 kerusi Parlimen – satu angka yang agak signifikan – UMNO dilihat ‘naik tocang’ sehingga mula bercakap soal king maker.

Perjalanan politik memilukan selama 22 bulan bagaikan tidak menginsafkan segelintir pemimpin UMNO khususnya mereka yang bertaraf warlord.

Ada pihak melihat UMNO mahu mengambil kesempataan dalam keadaan majoriti ‘cukup-cukup makan’ dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Apatah lagi yang menjadi bualan, tuntutan dilakukan ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Sepatutnya apapun masalah harus diselesaikan secara berhemah melalui kesepakatan dalam Perikatan Nasional bukannya dengan cara yang akan menyebabkan UMNO dituduh mengamalkan politik ugutan.

Tidak cukupkah lagi dengan pelbagai label buruk yang dikaitkan dengan parti itu selama ini?

Kenapakah mahu melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sedia ada – sebuah kerajaan yang dipimpin orang Melayu dan disertai oleh tiga parti orang Melayu?

Kalaupun UMNO merasakan kekuatan politiknya mahu dilemahkan oleh Bersatu, carilah penyelesaian terbaik bukannya bertindak bagaikan ‘marahkan nyamuk, satu rumah mahu dibakar’.

Pemimpin-pemimpin UMNO sering mengingatkan orang Melayu betapa pentingnya kuasa politik Melayu diperkukuhkan semula dengan mengimbas tingkah laku Pakatan Harapan yang didominasikan oleh DAP ketika berkuasa, tetapi sekarang dengan gerakan politik yang mahu dilakukan, tidakkah ia akan membuka ruang untuk DAP kembali dalam kerajaan jika kerajaan sedia ada tumbang?

Seharusnya UMNO insaf memandangkan walaupun memiliki kerusi terbanyak dalam Perikatan Nasional, fakta yang tidak boleh diubah ialah UMNO kalah dalam PRU-14, UMNO hilang kuasa dalam PRU-14, UMNO ditolak rakyat dalam PRU-14!

Dalam memperkatakan perkara ini, penulis teringat satu mesej yang diterima daripada seorang kawan, antara lain dia mencoretkan, “UMNO mudah lupa. Jangan lupa UMNO sudah kena sound oleh rakyat semasa PRU lepas. Kalau UMNO keluar PN sekarang. Itu menunjukkan orang-orang dalam UMNO masih lebihkan kuasa daripada rakyat. Tak ada beza dengan UMNO yang kena ‘tendang’ masa PRU lepas.’’

Apa yang dikatakan oleh kawan penulis itu ada benar. Ketika kerajaan sedang ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19, dalam keadaan rakyat menghadapi tekanan akibat wabak itu, ada pemimpin-pemimpin UMNO (bukan semua) dok sibuk memberi kata dua kepada Perdana Menteri.

Kalaulah Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa menyatakan beliau kebinggungan apabila melihat perebutan kuasa seolah-olah menjadi agenda utama segelintir pemimpin politik, rakyat (mungkin dalam kalangan ahli UMNO sendiripun) lagilah tidak keruan melihat gelagat pemimpin-pemimpin berkenaan.

Soalnya adakah UMNO berpendapat, apa yang mereka lakukan ini akan menguntungkan mereka? Betul, jika tuntutan mereka diterima oleh Muhyiddin, UMNO boleh berasa gembira, tetapi ingat rakyat sedang memerhati.

Apa gunanya mendapat jawatan sekarang, meraih kuasa sekarang, bersorak sekarang sedangkan apabila PRU-15 nanti UMNO ‘dikuburkan’ kerana wujudnya persepsi parti itu kemaruk kuasa? Isyarat sudah ada berdasarkan keputusan PRU-PRU lalu.

Dalam PRU-11 UMNO (2004) menang 109 kerusi, merosot kepada 79 kerusi pada PRU-12 (2008), bertambah sikit pada PRU-13 (2013) kepada 88 kerusi disebabkan ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak baru sepenggal mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada PRU-14 (2018) perolehan kerusi UMNO bukan sahaja merudum kepada 54 dan gagal mengembalikan majoriti dua pertiga yang hilang sejak PRU-12 malah kuasa yang digenggam sejak 61 tahun pun turut terlepas.

Angka-angka ini membuktikan bahaya yang menanti jika ada pemimpin UMNO masih belum mahu insaf, kalau tidak percaya, teruslah dengan tindak tanduk yang boleh memualkan rakyat, lepas itu sama-sama kita tengok ‘siapa yang kena’.

Justeru apapun keputusan yang mahu dilakukan oleh UMNO, fikirkanlah kesannya bukan sahaja kepada parti itu tetapi paling penting kepada kuasa politik orang Melayu.

Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, tiada kekusutan yang tidak boleh dirungkaikan, apa yang penting ialah insaf terhadap apa yang pernah dialami, ikhlas berjuang demi rakyat khusus orang Melayu dan bertolak ansur dalam membuat perundingan.

Jangan sampai daripada bangga sebagai ‘king maker’ akhirnya dianggap ‘trouble maker’, kalau itu berlaku, rakyat pasti akan menghukum UMNO dalam PRU akan datang.

Walaupun kita mengharapkan ketiga-tiga parti Melayu itu bersatu, namun kalau UMNO tidak mahu insaf, jangan ingat orang Melayu tidak ada pilihan kerana ‘di sana Bersatu menunggu, di sini Pas menanti’. Justeru lebih baik pertahankan Kerajaan Perikatan Nasional, perkukuhkan Muafakat Nasional.

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan