24.8 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 19, 2021

Terlebih penjara seorang lelaki, mahkamah Singapura mohon maaf

Mesti Baca

SINGAPURA – Mahkamah Negara meminta maaf kepada seorang lelaki yang menjalani hukuman penjara dua hari lebih lama daripada sepatutnya gara-gara kesilapan seorang pegawai mahkamah.

Memetik Berita Mediacorp, Teo Seng Tiong, 59 tahun, dipenjara awal tahun ini setelah didapati bersalah membelokkan lorinya secara tiba-tiba ke arah seorang pengayuh basikal dan gagal membuat aduan kepada pihak polis dalam tempoh 24 jam selepas berlaku kemalangan itu.

Rakaman video insiden itu yang berlaku di Pasir Ris Drive 3 menghala ke New Loyang Link pada 22 Disember tahun lalu, menunjukkan sebahagian daripada perkelahian antara pengayuh basikal dengan pemandu berkenaan dan video tersebut tular di media sosial.

Seng Tiong dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu dan didenda S$500 (RM1,520) dengan tambahan tiga hari pada hukuman penjara tersebut sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia juga dilarang memandu selama dua tahun.

Lelaki itu membuat rayuan terhadap sabitan kesalahannya tetapi ia ditolak dan dia mula menjalani hukumannya pada 20 Julai.

Mahkamah Negara dalam satu kenyataan media semalam berkata, pada hari yang sama, denda itu dibayar di Mahkamah Tinggi yang memaklumkan Mahkamah Negara akan pembayaran tersebut pada hari berkenaan. 

“Bagaimanapun, pegawai Mahkamah Negara yang bertanggungjawab ke atas kes tersebut gagal mengemas kini waran komitmen dan sistem pengurusan kes Mahkamah Negara untuk menunjukkan bahawa denda sudahpun dibayar,” kata kenyataan itu.

Baca juga:   Proses vaksinasi di Johor perlu disegerakan - TMJ
Baca juga:   Proses vaksinasi di Johor perlu disegerakan - TMJ

Apabila Jabatan Penjara Singapura (SPS) bertanya pada 21 dan 22 Ogos sama ada denda itu sudah dibayar, Mahkamah Negara menyatakan belum, sistem pengurusan kes tidak dikemas kini disebabkan oleh kesilapan pegawai berkenaan.

Disebabkan oleh kesilapan itu, Seng Tiong turut menjalani tempoh tambahan tersebut.

“Walaupun tempoh yang dikenakan oleh mahkamah adalah tiga hari, tempoh penjara tambahan yang dijalani oleh Teo adalah dua hari kerana sepertiga daripada tempoh itu ditarik balik,” jelas Mahkamah Negara sambil menambah dia dibebaskan pada 24 Ogos.

Pembayaran denda Seng Tiong hanya diketahui setelah SPS mengirimkan surat daripada peguamnya pada 24 Ogos, melampirkan resit pembayaran itu.

Mahkamah Negara sejak itu melaksanakan langkah berjaga-jaga lebih lanjut seperti tahap pemeriksaan tambahan dan memulakan semakan dalaman terhadap masalah tersebut.

Jelas kenyataan itu,  “tindakan yang sewajarnya” termasuk tindakan disiplin akan dikenakan bergantung kepada hasil semakan tersebut.

“Mahkamah Negara amat menyesali apa yang berlaku dan kami sudahpun mengirimkan surat memohon maaf kepada  Teo menerusi Pejabat Peguam Negara,” tambahnya.  – Agensi

Terkini

Persatuan veteran komando terima sumbangan van jenazah

SUNGAI PETANI - Hasrat Persatuan Veteran Komando Markas 6 Briged, Kem Sungai Layar, di sini untuk memiliki van jenazah...

Lagi Artikel Berkaitan