36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tak tunai janji di Sabah, Kit Siang patut tanya Mahathir

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TIDAK tahu apa yang reaksi mahu diberikan apabila membaca kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengingatkan pengundi di Sabah mengenai janji-janji yang tidak dipenuhi oleh Barisan Nasional (BN) sejak pertengahan 1990-an lagi.

Seperti dilaporkan Free Malaysia Today, Kit Siang ketika berceramah di Tanjong Papat, malam tadi berkata sekurang-kurangnya lima janji utama yang dibuat oleh BN semasa berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 1994 dan pilihan raya umum yang diadakan setahun kemudian.

Sambil mengingatkan kembali bagaimana UMNO ketika kempen pilihan raya umum 1995 membuat Aku Janji, Kit Siang mendakwa Kerajaan Persekutuan ketika berjanji untuk menurunkan tahap kemiskinan di Sabah dari 33 peratus pada tahun 1994 menjadi sifar pada 2000.

Dakwa beliau, janji-janji lain tidak ditunaikan termasuk membasmi buta huruf, menyediakan rumah kepada setiap rakyat Sabah, menghapuskan rasuah dan menyelesaikan masalah lama berkaitan pendatang tanpa izin.

“BN janji akan selesaikan isu pendatang tanpa izin. Ada RCI tapi masalah tak selesai,” kata beliau.

Hebat hujah Kit Siang tetapi beliau sepatutnya bertanya siapakah Perdana Menteri pada tahun-tahun yang beliau sebutkan itu. Tahun 1994 hingga 2012 bukankah kawan baik beliau, Tun Dr.Mahathir Mohamad yang menjadi pemimpin nombor satu negara? Bukankah ketika itu Kit Siang dan DAP merupakan musuh ketat kepada bekas Perdana Menteri tersebut.

Tidak pasti siapa Kit Siang mahu kritik dalam kempennya kerana BN sekarang bukan dipimpin oleh Dr.Mahathir dan kerajaan sekarang bukan dikuasai BN sebaliknya di bawah teraju Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewujudkan Kerajaan Perikatan Nasional – yang turut melibatkan BN, Bersatu, Pas dan parti-parti Sabah serta Sarawak.

Kerajaan PN baru tujuh bulan memerintah dan Aku janji yang dilancarkan oleh Muhyiddin semalam merupakan Aku Janji pertama gabungan tersebut dalam pilihan raya.

Sepatutnya berilah peluang kepada PN dan BN melunaskan, insha-Allah mereka tidak akan mengikut jejak Kerajaan Pakatan Harapan yang menggariskan berpuluh-puluh janji dalam manifesto tetapi akhirnya tidak ditunaikan.

Justeru apabila Kit Siang membangkitkan soal janji BN di Sabah dari tahun 1994 hingga 2012 maka fahamlah kita kenapa Kerajaan PH tidak menunaikan janjinya selepas PRU-14, rupanya individu yang sama menerajui kerajaan iaitu Dr.Mahathir yang menegaskan, ‘’manifesto bukan kitab suci’’. Lupakah Kit Siang?

Oleh itu rakyat Sabah tidak perlu terperangkap dengan hujah-hujah Kit Siang kerana bekas Setiausaha Agung DAP tersebut sepatutnya bertanya kepada Dr.Mahathir kenapa janji-janji yang dibuat kepada rakyat Sabah pada tahun-tahun berkenaan tidak ditunaikan.

Dan Kit Siang juga boleh bertanya kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal kenapa dalam tempoh dua tahun memerintah negeri itu banyak janji gagal ditunaikan sehingga rakyat mengeluh.

Ternyata Kit Siang boleh dianggap ‘tersilap strategi’ apabila membangkit soal janji-janji BN dahulu kerana ia hanya menampakkan ‘ketidakpandaian’ politik DAP yang sanggup bekerjasama dengan Dr.Mahathir yang mempunyai rekod ‘tidak pandai tunai janji’ termasuklah berjanji mahu melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri.

Kit Siang juga perlu ingat semula apa kata Tan Sri Musa Aman ketika menjadi Ketua Menteri berhubung bantuan Kerajaan Pusat kepada Sabah pada tahun 2018.

Kata beliau, “kerajaan Sabah menyifatkan era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai paling menguntungkan rakyat negeri ini, berikutan keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap Sabah yang lebih ketara, termasuk dalam aspek pendidikan.

“Sumbangan paling besar Kerajaan Pusat di bawah pentadbiran Najib dapat dilihat menerusi penyediaan peruntukan RM1 bilion untuk menyelesaikan masalah bangunan sekolah daif tahun ini.

“Belum pernah ada Perdana Menteri atau Menteri Kewangan sebelum ini memberi peruntukan begitu besar untuk pembangunan pendidikan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pemimpin, PN, BN serta Pas pasti akan memastikan Aku Janji yang dibentangkan ditunaikan kerana Perdana Menteri sekarang bukan Dr.Mahathir Mohamad tetapi Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala rekod kepemimpinan BN selepas era Ahli Parlimen Langkawi itu sentiasa melunaskan janji kepada rakyat bukannya ‘mencapatikannya’

Jadi Kit Siang perlu berhati-hati kalau mahu bercakap soal janji-janji dibuat oleh BN di Sabah dahulu, kaji balik siapa Perdana Menteri ketika itu, takut-takut ada ‘kawan baik yang akan tersinggung’ dan bimbang ada orang bertanya adakah beliau menyindir Dr.Mahathir?

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan