KUALA LUMPUR – Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.
Berdasarkan keputusan rasmi, GRS yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 daripada 73 kerusi keseluruhan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan awal pagi ini berkata, daripada 38 kerusi yang dimenangi GRS, masing-masing daripada PN (17 kerusi), BN (14 kerusi) dan PBS (tujuh kerusi).
Manakala Warisan Plus pula memenangi 32 kerusi dengan Warisan menang di 29 kerusi DUN sementara PKR (2) dan UPKO (1). Tiga kerusi lagi dimenangi oleh calon Bebas.
“Seramai 749,082 orang atau 66.61 peratus telah mengundi. Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang telah mengundi,” kata kenyataan itu.
Antara nama besar yang memenangi kerusi masing-masing ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin (DUN Lamaq), Datuk Seri Hajiji Noor (DUN Sulaman) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (DUN Senallang).
Dengan kemenangan GRS bermakna salah seorang daripada dua nama yang disebut-sebut iaitu Bung Moktar dan Hajiji bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Nama Hajiji yang juga bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah sebelum meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu selepas PRU-14, disebut sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Menteri jika GRS memenangi PRN Sabah.
Manakala Bung Moktar, antara pemimpin UMNO Sabah yang setia bersama parti selepas kekalahan BN dalam PRU-14, merupakan calon pilihan bagi partinya.
Bagaimanapun, seorang pemerhati politik menjangkakan ADUN Sulaman akan dipilih untuk menerajui Sabah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh PN berbanding BN.
Manakala Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan bakal menduduki portfolio kanan dalam Kabinet Negeri Sabah.
“Dengan peratus kemenangan calon PN berbanding jumlah kerusi yang dipertandingkan parti itu, nampakan Hajiji akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya yang enggan dikenali.
Debaran menunggu keputusan PRN Sabah sudah reda kini debaran baharu menantu iaitu penentuan siapa yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu. – Edisi 9