28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Penganggur berkurangan, pasaran buruh Malaysia semakin pulih

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus berusaha mempercepatkan pemulihan ekonomi negara agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan lebih ramai penganggur dapat kembali bekerja supaya negara berada dalam keadaan guna tenaga penuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun pasaran buruh semakin pulih seperti yang disasarkan, kerajaan sedar dan prihatin bahawa bilangan penganggur sebanyak 745,100 orang adalah masih lebih tinggi berbanding dengan purata seramai 494,000 orang bagi tempoh 2016-2019.

“Tambahan pula, masih terdapat 104,300 orang (908,900 orang pada bulan Jun 2020) yang tidak bekerja buat sementara waktu seperti mereka yang diberhentikan kerja sementara.

“Golongan ini tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka masih mempunyai pekerjaan dan akan kembali bekerja,” jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas tentang pasaran buruh yang dilaporkan bertambah baik pada Julai lalu dengan menyaksikan kadar pengangguran di negara ini menurun dua bulan berturut-turut.

Berdasarkan Perangkaan Tenaga Buruh bagi Julai 2020 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan hari ini, kadar pengangguran menurun kepada 4.7 peratus selepas mencatatkan kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020 (Jun 2020: 4.9 peratus).

Bilangan penganggur pada Julai lalu adalah seramai 745,100 orang, berkurangan sebanyak 28,200 orang berbanding Jun.

“Sebilangan besar sektor ekonomi terus mencatatkan peningkatan guna tenaga sejak Jun 2020.

“Peningkatan yang ketara itu dapat dilihat sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan termasuk penginapan, aktiviti makanan dan minuman, kesenian, hiburan dan rekreasi, pengangkutan dan aktiviti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi seperti e-dagang dan e-hailing,” jelasnya.

Advertisements

Mustapa menambah, keadaan pasaran buruh yang semakin baik ini disokong oleh aktiviti ekonomi yang semakin pulih.

Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang merangkumi tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik mencatat pertumbuhan positif pada kadar 2.1 peratus pada Julai 2020 berbanding Julai 2019 setelah mengalami penguncupan bagi empat bulan berturut-turut sejak Mac.

Peningkatan IPP didorong oleh pertumbuhan indeks Pembuatan yang berkembang sebanyak 2.9 peratus. Walau bagaimanapun, indeks Perlombongan dan indeks Elektrik masing-masing mencatatkan penyusutan 3 peratus dan 5.1 peratus.

Nilai jualan sektor pembuatan turut mengekalkan pertumbuhan positif pada Julai dengan kadar 1.9 peratus kepada RM119.3 bilion daripada RM117 bilion pada Julai 2019.

Perkembangan ini disumbangkan terutamanya oleh Produk Makanan, Minuman & Tembakau, mencatat peningkatan sebanyak 24.9 peratus, Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain, 14.3 peratus dan Produk Peralatan Elektrik & Elektronik, 8.4 peratus.

Prestasi perdagangan borong dan runcit juga semakin pulih dengan nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM108.7 bilion pada Julai 2020, iaitu penurunan lebih kecil sebanyak 3.5 peratus berbanding dengan Julai 2019.

Mustapa berkata, pencapaian itu adalah lebih baik berbanding dengan penguncupan sebanyak 8.4 peratus pada Jun 2020 dan merupakan nilai jualan tertinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan disebabkan oleh COVID-19.

“Pemulihan pasaran buruh dan aktiviti ekonomi ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula ekonomi secara beransur-ansur sejak Mei 2020 yang lalu membolehkan lebih banyak perniagaan beroperasi dan kini hampir semua aktiviti ekonomi telah dibuka semula.

“Pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui PRE2020, PRIHATIN dan PENJANA untuk membantu rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi turut mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan