29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Pahang terus laksana peraturan papan tanda bertulisan Jawi

Mesti Baca

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang akan terus melaksanakan peraturan papan tanda bertulisan Jawi  di kesemua premis-premis perniagaan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bagi memastikan tulisan Jawi terus mekar dalam ingatan anak-anak Pahang tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. 

Menurutnya, masyarakat perlu melihat impak positif, yang mana dengan adanya peraturan ini, ia akan dapat membuka ruang bagi seluruh warga Pahang untuk mengenal (atau mengenal semula) tulisan yang merupakan khazanah berharga ini. 

“Kepada seluruh anak-anak negeri Pahang Darul Makmur tidak kira bangsa, agama dan keturunan, pelihara dan sayangilah tulisan Jawi ini. Jangan dibiarkan tulisan warisan yang bersejarah ini terus pupus ditelan zaman,” katanya di Facebook.

WAN ROSDY WAN ISMAIL

Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini telah menolak permohonan semakan kehakiman yang telah dibuat oleh tiga peniaga yang ingkar untuk meletakkan tulisan Jawi di papan tanda iklan mereka. 

Wan Rosdy berkata, keputusan mahkamah itu disambut baik oleh kerajaan negeri yang akan terus komited dalam memelihara adat budaya warisan negeri ini, termasuk dalam usaha untuk memartabatkan semula tulisan Jawi. 

Advertisements

Beliau menjelaskan, bermula pada 1 Januari 2020,  Pahang telah menguatkuasakan pelaksanaan papan tanda bertulisan Jawi  di kesemua premis-premis perniagaan negeri ini.

“Peraturan yang berdasarkan peruntukkan undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini adalah untuk memastikan tulisan Jawi yang merupakan tulisan warisan terus terpelihara dan dapat mendidik generasi masa hadapan, untuk mencintai adat dan budaya yang semakin lama terhakis dek kerana globalisasi dan arus permodenan. 

“Pelaksanaan untuk memaparkan tulisan Jawi ini juga merupakan satu tindakan bagi menyahut titah DYMM Yang Dipertuan Agong pada  13 November 2018, agar tulisan warisan ini dipaparkan di setiap premis di negeri ini untuk dimartabatkan semula,” katanya.

Wan Rosdy memberitahu, menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dijangka pada penghujung abad ini terdapat lebih 6,000 bahasa dan tulisan dari seluruh pelusuk  dunia akan pupus sekiranya tiada tindakan yang bersepadu dilaksanakan untuk memelihara khazanah budaya tersebut. 

“Kita tidak mahu perkara ini terjadi dengan tulisan Jawi yang telah menjadi identiti bukan sahaja kepada bangsa Melayu dan agama Islam di nusantara, tetapi sebagai budaya sejagat yang pada suatu masa dahulu pernah dikongsi oleh semua kaum di Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan