25.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, December 7, 2021

Anwar buat gimik… UMNO, Pas pula nak berantakan, apa hal?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SAMA ada Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan seperti mana beliau dakwa pada sidang akhbar baru-baru ini, masih lagi menjadi persoalan.

Presiden PKR itu pun nampak terus keberatan untuk mendedahkah siapa ahli-ahli Ahli Parlimen yang akan menyokong beliau bagi mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Malangnya ketika Anwar terus sibuk dengan aktivitinya, selepas membuat pengumuman yang mengejutkan negara tersebut, Muafakat Nasional pula di ambang berantakan.

Segalanya bermula daripada kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan, beliau menghormati dan tidak boleh menghalang jika ada Ahli Parlimen UMNO menyokong Anwar.

Pas bertindak balas apabila Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan parti tersebut mahu penjelasan sejelas-jelas daripada UMNO berikutan kenyataan Ahmad Zahid.

Ia disusuli pula dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan, UMNO juga mahu penjelasan Pas berkaitan tindakan Pas menjadi komponen Perikatan Nasional .

Keadaan itu jika tidak dikawal sudah pasti akan menjejaskan keharmonian Muafakat Nasional yang sudah berjaya menjadi gabungan politik digeruni oleh parti pembangkang, tetapi sekarang tersenyumlah musuh-musuh Muafakat Nasional apabila antara UMNO dan Pas sudah ada perasaan curiga mencurigai.

Pelik dan aneh, kenapakah dalam berhadapan dengan ‘Sandiwara September’ yang dicetuskan oleh Anwar, pemimpin-pemimpin kedua-dua parti tidak boleh bertenang sebelum membuat kenyataan.

Entah kenapa mereka begitu mudah melakukan tindakan yang membuka jalan ‘mempercepatkan agenda’ orang lain untuk mewujudkan perasaan curiga antara satu sama lain.

Betul kata Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz sepatutnya Pas tidak perlu membuat kenyataan terbuka berhubung soal meminta penjelasan daripada UMNO kerana ia boleh dibincangkan secara setiakawan dalam Muafakat Nasional.

Tetapi perlu diakui juga, ada yang beranggapan kenyataan Ahmad Zahid seperti mana kata seorang kawan kepada penulis telah ‘memberi makna’ kepada sidang akhbar Anwar yang sebenar ‘tidak ada apa-apa makna’.

Ia memandangkan Anwar tidak menyatakan dengan jelas dan terbuka siapa yang terlibat dengan alasan mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Dalam keadaan hampir semua pemimpin parti dalam Perikatan Nasional menganggap semua itu hanya sandiwara dan gimik politik Anwar, secara tiba-tiba Ahmad Zahid pula membuat kenyataan yang memungkinkan orang percaya bahawa Anwar memang mendapat sokongan sebilangan Ahli Parlimen UMNO.

Bagaimanapun semua ahli Parlimen yang dikaitkan sudah menafikan menyokong Anwar dan kenyataan Ahmad Zahid dikatakan strategi bagi mengingatkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tanpa sokongan UMNO, Kerajaan PN boleh tumbang.

Dan kenapa Ahmad Zahid berbuat demikian, ia sudah ‘didedahkan’ oleh Nazri bahawa “Zahid betul kerana ramai dalam UMNO tidak senang dengan Muhyiddin dan PPBM mengenai cara UMNO dilayan.”

Sebagai Presiden parti, Ahmad Zahid memahami sentimen yang sedang berkembang dalam parti yang dipimpinnya.

Baca juga:   Rukun Negara bukan sekadar simbolik - Agong

Pas perlu faham situasi ini, tidak boleh kelam-kabut mahu meminta penjelasan Ahmad Zahid sedangkan DAP pun tidak meminta penjelasan Anwar apakah benar ada ahli-ahli Parlimen UMNO akan menyertai ‘kerajaan idaman’ beliau.

Apapun pokok pangkalnya, tidak perlu UMNO dan Pas berantakan hanya kerana gimik politik Anwar.

Kalaupun nak minta penjelasan buatlah secara diam-diam dalam mesyuarat Muafakat Nasional minggu depan. Sekarang Takiyuddin sudah buat kenyataan dan ia dibalas oleh Asyraf Wajdi itu sudah cukup, berhentilah di situ sahaja, selebihnya bincang dalam mesyuarat.

Baca juga:   Ibu cuba bunuh diri lepas ragut nyawa lima anak

Pemimpin lain dalam UMNO mahupun Pas, dok diam-diam tidak payah nak teruja sangat buat kenyataan kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

Perlu diingat terlalu ramai musuh mahu melihat Muafakat Nasional berantakan dan hancur kerana ia dilihat gabungan politik orang Melayu dan Islam terkuat yang pernah wujud dalam sejarah politik Malaysia.

Paling penting Muafakat Nasional dilahirkan dan disambut dengan linangan air mata oleh pemimpin, penyokong kedua-dua parti dan orang Melayu.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya kecil sebelum ini meletakkan Muafakat Nasional dilihat berpeluang cerah untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan mengukuhkan kembali kuasa politik orang Melayu.

Justeru jangan digugat atau dihakiskan kekuatan itu hanya disebabkan ‘satu gerakan’ oleh pihak musuh. Berbincanglah elok-elok atas semangat ukhuwah sesama Islam dan setiakawan dalam sebuah permuafakatan.

Apa yang berlaku jangan dipolemikkan lagi kerana apa yang lebih penting ialah bagaimana mahu memperbaiki keadaan supaya Muafakat Nasional tidak berantakan sehingga akhirnya ‘terkubur’ selepas setahun dilahirkan. Anggaplah apa yang terjadi sebagai ujian kepada semangat setiakawan.

Sama ada dalam kerjasama dalam Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional, masing-masing harus menghormati, menghargai antara satu sama lain, benar-benar menjaga semangat setiakawan termasuk tidak mengamalkan sikap ‘sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi’serta tidak melayan mana-mana parti seperti ‘melukut di tepi gantang’.

Apapun sebagai orang Melayu, sudah pasti kita mengharapkan kerjasama melalui Muafakat Nasional diperkukuhkan dan Kerajaan Perikatan Nasional dipertahankan. Janganlah melatah tak tentu pasal atau membuat kenyataan yang boleh memberi ‘peluru kepada musuh’ dan menimbulkan persoalan.

Penulis percaya semua ini ada hikmahnya sama ada untuk Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional. Bermusyawarahlah dengan sebaik-baiknya demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia keseluruhannya.

Jadikanlah apa yang berlaku kepada kuasa politik Melayu dalam PRU-14 sebagai pengajaran, jangan biarkan ‘antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang’ – cukuplah sekali!

Kasihanilah orang Melayu yang selama ini bersyukur dengan kelahiran Muafakat Nasional dan berasa gembira dengan pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional. Semoga semua pemimpin terlibat memahami harapan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini

Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia ikut SOP ketat

PROGRAM 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat...

Lagi Artikel Berkaitan