30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KUMMB teruskan legasi Utusan Melayu, buka saham kepada ahli keluarga

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Biar pun syarikat Utusan Melayu sudah berkubur sejak setahun lalu namun sebahagian bekas kakitangannya yang menjadi ahli koperasi syarikat akhbar berkenaan menanam iltizam untuk mengekalkan legasinya sampai bila-bila.

Susulan itu, para perwakilan Koperasi Utusan Melayu Malaysia Berhad (KUMMB) yang mewakili 350 ahlinya menolak usaha pembubaran koperasi tersebut, malah sebaliknya meluluskan usul agar sahamnya dibuka untuk semua bekas kakitangan Utusan Melayu dan ahli-ahli keluarga mereka.

Usul tersebut diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan KUMMB bagi sesi 2018/2019 yang diadakan di Taman Botani di sini, semalam.

Pengerusi KUMMB, Mohd Ridzwan Md Iman berkata, dengan membuka tawaran kepada semua bekas kakitangan diharap dapat menambahkan lagi jumlah saham koperasi di samping menarik penyertaan bekas-bekas pegawai kanan Utusan yang berpengaruh.

“Kalau KUMMB ini kita kuburkan tiada lagilah nama ‘Utusan Melayu’ yang telah diasaskan oleh pengasas syarikat itu di Singapura 80 tahun lalu.

“Jadi andai syarikat yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia sekarang tidak mahu dikaitkan lagi dengan Utusan Melayu, biarlah koperasi kita menjadi penerus legasi,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat agung itu.

Hadir sama dua pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kuala Lumpur, Amira Husna Zulfikri dan Norulnidiah Harun.

Mohd Ridzwan berkata, penawaran saham kepada ahli- ahli keluarga pula bagi membolehkan koperasi ini akan terus hidup walaupun semua bekas kakitangannya sudah tiada.

Beliau bagaimanapun berkata, cabaran yang menanti KUMMB selepas ini ialah untuk melaksanakan perniagaan yang boleh menjana keuntungan memandangkan koperasi itu tiada lagi “bapa” untuk bergantung.

Justeru, pelan pemulihan perlu difikir dan dilaksanakan bagi menyusun semula perniagaan berikutan tidak lagi dapat menjalankan pengiklanan yang sebelum ini menjadi sumber utama pendapatan KUMMB.

Katanya, antara perancangannya ialah untuk bekerjasama dengan pihak koperasi lain menjalankan perniagaan berteraskan keuntungan memandangkan KUMMB mempunyai kepakaran tersendiri terutama bidang penerbitan, pengiklanan dan percetakan.- Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan