KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan sejumlah peruntukan bagi menggalakkan lebih banyak koperasi terlibat dalam sektor agro-makanan dan pelancongan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedict berkata, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara dan Tahun Melawat Malaysia tahun 2026.
Beliau berkata, daripada 15,809 koperasi di Malaysia hanya 3,634 koperasi yang terlibat dalam sektor agro-makanan termasuk pertanian dan penternakan.
Justeru beliau berkata, selain Geran Bantuan Pembangunan SKM, KUSKOP juga menyediakan pembiayaan Tabung Modal Pusingan sebanyak RM100 juta untuk sektor agro-makanan.
“Sebab itu, saya memberi tumpuan besar kepada sektor agro makanan koperasi ini bagi meningkatkan lagi penyertaan masyarakat dalam koperasi sektor agro makanan,” katanya dalam Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 di Angkasapuri, malam tadi.
Ewon berkata, penglibatan koperasi dalam sektor agro-makanan akan mengurangkan kebergantungan sumber bekalan makanan yang diimport seterusnya memastikan keterjaminan makanan negara.
“Negara kita masih banyak bergantung kepada import bahan makanan seperti beras, bawang merah, bawang putih dan daging.
“Ini memberi satu cabaran besar kepada negara kita dalam soal keterjaminan makanan.Saya masih ingat di Sabah, pada tahun lepas, heboh mengenai bekalan beras.
“Tapi saya melihat itu satu potensi sebenarnya, satu peluang kepada masyarakat di negara kita untuk membangunkan sumber tanah yang luas bagi tujuan pertanian, penternakan, perladangan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, isu keterjaminan makanan adalah tanggungjawab bersama dan bukannya pihak kerajaan khususnya kementerian tetapi rakyat secara keseluruhannya.
“Ertinya, rakyat boleh menubuhkan koperasi dan membangunkan sumber-sumber mereka untuk tujuan pembangunan keterjaminan makanan seperti pertanian dan tanaman sayuran,” katanya.
Mengenai penglibatan koperasi dalam sektor pelancongan, Ewon berkata, setakat ini sebanyak 255 buah koperasi terlibat dalam sektor pelancongan ataupun perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan, pengusaha resort, homestay dan restoran.
“Sebab itu bermula tahun ini, kita telah menyediakan peruntukan awal sebanyak RM2 juta yang kita salurkan kepada koperasi-koperasi pelancongan untuk mempromosikan produk mmg dan perkhidmatan mereka.
“Saya mahu pada tahun hadapan, SKM di bawah kumpulan wang amanah, sejumlah dana untuk pembangunan infra di kawasan koperasi koperasi pelancongan ini.
“Tujuan awal kita mempromosi itu supaya para pelancong dalam negara dan juga luar negara maklum bahawa banyak tempat menarik di Malaysia yang diusahakan oleh koperasi,”katanya.
Ewon ingin melihat koperasi sektor pelancongan boleh bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang terlibat dalam sektor pelancongan.
“Saya ingin melihat koperasi boleh bersaing dengan syarikat-syarikat besar, sebab itu kita mulakan peruntukan awal RM2 juta untuk membantu membangunkan produk koperasi dan juga mempromosikan produk dan perkhidmatan koperasi koperasi dalam sektor pelancongan.
“Program Jejak Koperasi (JEJAK) telah kita lancarkan pada bulan Mei lepas. Kita juga bercadang untuk bekerjasama dengan beberapa influencer untuk mempromosikan tempat-tempat menarik yang diusahakan oleh koperasi-koperasi pelancongan,” katanya.
Beliau berharap tahun 2026, apabila kempen tahun melawat Malaysia dilaksanakan, pelancong juga akan berkunjung ke tempat yang diusahakan oleh koperasi di negara ini. – Edisi 9