25.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 8, 2024

Malaysia pelawa Timor-Leste kembangkan industri halal

Mesti Baca

MALAYSIA mempelawa pemain industri Timor-Leste untuk mengembangkan industri halal di negara itu memandangkan ia mempunyai potensi sangat besar.

Pelawaan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai industri halal di Dili, Timor-Leste hari ini.

Zahid berkata, potensi pasaran halal yang dijangka melebihi USD 5 trilion menjelang 2030 merupakan peluang besar yang boleh dimanfaatkan oleh Timor-Leste untuk membangunkan sektor halal mereka. 

“Dengan memanfaatkan peluang industri yang sedang berkembang ini, saya turut mencadangkan agar Timor-Leste mengambil langkah dengan mempelbagaikan ekonomi, menarik pelaburan asing, dan menjana pekerjaan terutamanya dalam pelancongan, pengeluaran makanan, dan farmaseutikal.

“Pada masa yang sama, sektor pelancongan halal merupakan kunci utama pembangunan industri halal yang dapat menarik pelancong beragama Islam dari seluruh dunia, sekaligus membuka peluang untuk pertumbuhan industri yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbincangan meja bulat itu dianjurkan oleh dianjurkan oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Trade Invest of Timor-Leste sempena lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke negara itu.

Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia berkata, langkah Timor-Leste untuk mengintegrasikan amalan halal dilihat penting memandangkan mereka kini sedang berusaha ke arah memperoleh keanggotaan di dalam ASEAN. 

Advertisements

Melalui diplomasi halal, kata Zahid, mereka dapat memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan hubungan ekonomi, bukan sahaja untuk meningkatkan kedudukan Timor-Leste di peringkat global, malah dapat mengeratkan lagi hubungan dalam komuniti ASEAN.

“Dalam ucapan, saya telah menekankan bahawa sektor halal bukan hanya mengenai amalan pemakanan sahaja, ia melambangkan nilai-nilai kesucian, keselamatan, dan etika integriti yang selaras dengan prinsip-prinsip ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Zahid berkata, kejayaan Malaysia dalam industri halal yang diterajui oleh HDC dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), merupakan bukti bahawa sektor ini mempunyai peluang yang besar terhadap pembangunan ekonomi negara.

Katanya, HDC memainkan peranan penting dalam mempromosikan peluang pasaran dan pelaburan dalam industri halal, manakala JAKIM berperanan untuk memastikan pensijilan Halal Malaysia sentiasa berada di tahap yang tertinggi dalam memenuhi piawaian halal antarabangsa. 

“Pengalaman dan amalan terbaik industri halal di Malaysia boleh dijadikan rujukan oleh Timor-Leste dalam usaha membangunkan sektor halalnya sendiri,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Mahkota: BN sekali lagi pertaruh calon Pemuda 

BARISAN Nasional (BN) sekali lagi menpertaruhkan wakil Pemuda UMNO sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri...

Lagi Artikel Berkaitan