32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kenyataan media Zahid cetus tanda tanya

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Apa sudah jadi dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

Benarkah ramai Ahli Parlimen parti itu menyokong gerakan Datuk Seri Anwar Ibrahim merampas kerajaan Perikatan Nasional (PN)?

Jika benar, apakah UMNO/BN mengkhianati Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tidak menghalang Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN yang mahu menyokong Presiden PKR itu?

Persoalan tersebut muncul susulan satu kenyataan media didakwa dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pengumuman Anwar bahawa beliau cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan itu, Zahid mengesahkan bahawa ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Malah beliau juga tidak menghalang ahli-ahli Parlimen terbabit menyokong ‘kerajaan Anwar’ atas alasan UMNO dan BN bukan sebahagian daripada parti komponen PN.

“Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional. Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-ahli Parlimen sahaja.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang DiPertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan media Presiden UMNO yang mencetuskan tanda tanya.

Sehingga kini belum ada pengesahan rasmi sama ada kenyataan media Presiden UMNO itu sahih atau sebaliknya.

Bagaimanapun sumber-sumber dari Ibu Pejabat UMNO ketika dihubungi Edisi 9 mengesahkan mengenainya.

Dalam pada itu, gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan PN telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Anwar mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menerusi satu kenyataan bersama oleh setiausaha agung parti-parti tersebut, mereka menganggap kenyataan Anwar sebagai satu publisiti murahan yang diulang.

“Tindakan terbaharu beliau ini juga menyerlahkan sikap rakus dan gila kuasa beliau yang ternyata sama sekali tidak mempedulikan soal kestabilan politik dan ekonomi negara serta nasib rakyat yang terjejas teruk akibat COVID-19,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu mewakili BN, Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR).

MCA dalam kenyataan berasingan menerusi Facebook menegaskan parti itu bersama BN akan terus menyokong kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata: “Pendirian kami adalah jelas bahawa MCA dan BN ketika ini masih teguh berdiri bersama Muhyiddin.

“Di bawah kepimpinan beliau, kerajaan dapat terus berfungsi dengan baik dan berjaya berdepan pandemik Covid-19 sejak enam bulan lalu.”

Ka Siong menyifatkan pengumuman Anwar itu seperti mensabotaj negara yang ketika ini sedang sibuk meyakinkan pelabur untuk memulihkan semula ekonomi negara dan ini dibuktikan apabila sejurus pengumuman itu, KLCI jatuh 10.5 mata.

Untuk rekod, MCA mempunyai dua kerusi di Parlimen. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan