BANGKOK – Seorang remaja Thailand berdepan pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya apabila terpaksa dikejarkan ke hospital selepas seekor ular sawa menggigit zakarnya ketika dia duduk di mangkuk tandas rumahnya untuk melepaskan hajat.
Mail Online melaporkan, dalam kejadian petang kelmarin, Siraphop Masukarat, 18, pergi tandas rumahnya dan berasa sangat sakit secara tiba-tiba pada kemaluannya.
Sejurus melihat ke bawah, dia mendapati seekor ular sawa sepanjang 1.2 meter sedang menggigit kemaluannya dan sejurus reptilia itu melepaskan cengkamannya, darah mula memancut keluar memenuhi mangkuk tandas.
Siraphop kemudiannya menjerit ketakutan dan berlari keluar dari bilik air dengan seluarnya masih berada pada lututnya dalam kejadian di Nonthaburi, utara Bangkok.
Ibu remaja itu kemudiannya mententeramkannya dan pasukan perubatan menghantar remaja itu ke Hospital Bang Yai bagi mendapatkan rawatan.
Doktor kemudiannya memberikan Siraphop tiga jahitan berikutan gigitan reptilia selain mencuci luka dengan cucian antibiotik.
“Saya sedang menggunakan tandas namun tidak lama selepas saya duduk, saya rasa sakit pada zakar. Semasa saya tunduk, saya lihat seekor ular di dalam mangkuk tandas. Kemudiannya Sarah berada di mana-mana.
“Walaupun ia ular bersaiz kecil, namun gigitannya terlalu kuat. Saya harap zakar saya akan pulih,” katanya.
Ular yang masih berada di mangkuk tandas itu kemudiannya ditangkap oleh penjinak ular yang melepaskan semula reptilia itu ke kawasan hutan.
Ibu Siraphop, Sutapath berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu.
“Saya tidak tahu bagaimana ular itu boleh masuk ke rumah saya. Mungkin ia masuk melalui paip pembentungan yang bersambung dengan tandas tersebut.
” Saya tahu ular itu mencederakan anak saya namun saya lega ia bukan reptilia berbisa. Jika ular tedung dia mungkin akan mati,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu pasti akan membuatkan anaknya trauma jika mahu ke tandas.