KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan lambang berbeza bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung 26 September ini.
BN yang terdiri daripada gabungan parti-parti UMNO, MCA, MIC dan parti sekutu, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menggunakan lambang tradisinya iaitu ‘dacing’.
Manakala PN terdiri daripada Bersatu, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) akan menggunakan lambang ‘PERIKATAN NASIONAL’.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PRN Sabah bakal menjadi ujian terbaik kerjasama dan kesefahaman antara BN dan PN
Memetik hantaran dalam Facebooknya hari ini, Asyraf berharap tidak berlaku pertandingan sesama sendiri antara parti-parti pendukung kerajaan tersebut.
“Di kawasan BN bertanding pimpinan telah putuskan untuk terus kekal menggunakan lambang ‘dacing’ (istilah orang Sabah, ‘timbangan’), manakala PN sama ada PPBM (Bersatu), Pas, STAR atau SAPP akan guna lambang PERIKATAN NASIONAL.
“Harapnya tidak bertembung satu sama lain… mudah-mudahan,” katanya.

Malam tadi, PN melakar sejarah apabila buat pertama kalinya mengadakan himpunan dihadiri oleh semua pemimpin utama dan para penyokong parti komponennya di Sabah.
Dalam himpunan itu turut menyaksikan buat julung kalinya bendera dan lambang PN diperkenalkan kepada para penyokong gabungan parti berkenaan.
Inilah kali pertama PN bertanding dalam pilihan raya selepas pembentukan gabungan parti-parti itu pada Februari lalu.
Semalam, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan bahawa pihaknya dan PN sudah mencapai kata sepakat tentang pengagihan kerusi, namun beliau sendiri tidak dapat memberi jaminan tiada pertembungan sesama parti PN.
Annuar berkata, UMNO dan Bersatu akan memberi tumpuan di 45 kerusi di kawasan majoriti bumiputera Islam manakala baki 28 kerusi lagi akan diwakili parti-parti lain di bawah PN.
“Kemungkinan ada beberapa kerusi dibenarkan oleh parti dalam PN untuk diletakkan lebih dari satu calon.
“Contohnya kalau di situ ada Bersatu mungkin akan ada STAR… kita kena kaji profil dan kekuatan masing-masing,” katanya seperti dilapor Bernama.
BN dan PN dijangka mengumumkan secara bersama calon-calon yang akan bertanding dalam satu majlis di Grand Ballroom Magellan Sutera Habour, Kota Kinabalu. – Edisi 9