25.4 C
Kuala Lumpur
Monday, December 4, 2023

Agong selesai jalani rawatan keracunan makanan dan intervensi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat selepas menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi di Institut Jantung Negara (IJN).

Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata, Al-Sultan Abdullah kini dalam keadaan stabil selepas selesai menjalani rawatan susulan.

Kata kenyataan itu, rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke IJN pada malam 21 September lalu.

“Rawatan intervensi pula dilakukan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah dan berlangsung dengan jayanya pada 24 September lalu.

“Ini susulan pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dibuat pada 22 September lalu menunjukkan kecederaan dialami oleh Al-Sultan Abdullah ketika bersukan,” katanya.

Kata kenyataan itu, berikutan rawatan intervensi, baginda dinasihatkan untuk menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan Pakar Perubatan IJN.

“Al-Sultan Abdullah amat tersentuh hati dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan Seri Paduka Baginda dan menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat yang mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda,” katanya.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kebimbangan baginda berikutan peningkatan mendadak jumlah kes positif Covid-19.

“Sehingga semalam terdapat 150 kes baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,919 kes.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran Seri Paduka Baginda berikutan peningkatan kepada sebanyak 36 kes positif Covid-19 di Semenanjung Malaysia selepas kembali dari Sabah, yang dikesan daripada 20 hingga 27 September lalu,” katanya.

Terkini

Lantik Raja Affandi sebagai Ahli Dewan Negara – Shabery

KERAJAAN diminta mempertimbangkan cadangan melantik calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Jeneral (B) Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan