30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Jangan melampau! Ahli UMNO juga ada maruah – Asyraf

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO hari ini mengeluarkan kenyataan keras kepada Armada Bersatu agar tidak melampau dan bersikap sombong selepas kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, sudah tiga kali UMNO mengalah iaitu semasa mahu menubuhkan kerajaan Persekutuan, kerajaan Perak dan terbaru di Sabah walaupun dari segi jumlah kerusi UMNO melebihi Bersatu.

“Waktu nak selamatkan Kerajaan Persekutuan, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 43 Ahli Parlimen, berjiwa besar mengalah kepada PPBM (Bersatu) yang hanya ada 6 + 15 (Ahli Parlimen lompat dari UMNO) untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM (Perdana Menteri).

”Waktu nak tubuhkan Kerajaan Perak, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 25 ADUN berjiwa besar, tetap mengalah kepada PPBM yang hanya ada 4 kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Faizal Azumu sebagai MB (Menteri Besar).

“Waktu nak tubuhkan Kerajaan Sabah, demi rakyat, UMNO-BN dengan kerusi terbesar 14 ADUN berjiwa besar, sekali lagi mengalah kepada PPBM yang hanya ada 11 kerusi untuk mengangkat Datuk Seri Hajiji sebagai KM (Ketua Menteri).

“Justeru Jangan Melampau! Ahli-ahli UMNO juga ada maruah. Tidak selamanya juga kami boleh mengalah. Nasihat saya bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas,” tegas beliau menerusi akaun Facebooknya malam ini.

Asyraf Wajdi mengulas kenyataan awal Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal yang mendakwa kemenangan GRS di Sabah adalah atas kekuatan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dibebani dengan isu legasi dan kepercayaan.

Seolah-olah menidakkan peranan UMNO dan Barisan Nasional (BN), beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, kemenangan PN juga hasil kekuatan Muhyiddin yang tidak ‘ponggah’, tidak angkuh dan meraikan kerjasama.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal

Katanya, rakyat menyayangi parti itu kerana tidak dibayangi dengan skandal dan masalah yang kronik sehingga mereka sukar untuk mempercayainya.

“Kita akan perkukuhkan koalisi ini bersama rakan kita Pas dalam usaha berdepan dengan PRU-15 yang bakal tiba tak lama lagi.

“Semoga Allah melembutkan hati-hati kita untuk tidak tamak dan sepet akal dalam menilai. Masa depan Malaysia buat masa ini cerah bersama Perikatan Nasional,” katanya.

Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu dipercayai ditujukan kepada para pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati susulan pemilihan Pengerusi PN Sabah, Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Asyraf Wajdi berkata, walaupun tidak mengharapkan sebarang penghargaan mahupun pujian, beliau tetap tabik hormat kepada seluruh jentera UMNO-BN di peringkat akar umbi sepanjang kempen PRN Sabah tempoh hari.

“Mereka bekerja keras bukan sahaja di kawasan BN bertanding bahkan turut membantu memenangkan calon-calon PPBM atas bendera Perikatan Nasional di kawasan-kawasan yang hakikatnya menjadi tradisi kubu kuat UMNO-BN hampir 30 tahun,” katanya menerusi Facebooknya semalam.

Sementara itu berdasarkan tinjauan dalam laman sosial, pelbagai pihak yang bersimpati dengan UMNO mendesak parti itu menamatkan hubungan dengan PN termasuk meninggalkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Mereka beranggapan adalah lebih baik BN bertanding secara bersendirian dalam PRU-15 daripada bekerjasama dengan parti yang tidak menghormati UMNO/BN serta bersikap angkuh.

Bagaimanapun, tidak kurang juga berharap isu tersebut tidak diperbesarkan sebaliknya memberi tumpuan untuk penyatuan bangsa Melayu dan agama Islam di samping memastikan DAP tidak lagi menguasai pemerintahan negara. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan