26.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 6, 2024

Hentikan sikap ‘lebih sudu daripada kuah’, masa untuk bekerja

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor akhirnya dipilih sebulat suara oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menjadi Ketua Menteri negeri itu selepas kesemua parti dalam gabungan berkenaan mencapai kesepakatan melantik beliau atas semangat persaudaraan.

Sudah pasti keputusan tersebut biarpun dilihat terbaik untuk menenangkan politik Sabah, pasti ada yang tidak puas hati terutama dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO.

ADUN-ADUN GRS sudah membuat keputusan termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin. Kalau mahu ‘mengamuk’ atau ‘merajuk’, beliaulah orang paling layak berbuat demikian, tetapi beliau berjiwa besar dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

Oleh itu soal siapa Ketua Menteri tidak perlu dipolemikkan lagi. Tambahan pula, pemimpin-pemimpin UMNO sendiri sudah memberi otonomi kepada pemimpin parti itu di Sabah untuk membuat keputusan dan bukannya ‘orang Kuala Lumpur mahupun Putrajaya.’

Kalau Bung Moktar boleh berjiwa besar dengan menegaskan, sudah sampai masanya untuk menyelesaikan masalah rakyat dan tidak lagi hanya berpolitik, kenapa ‘orang luar’ mahu ‘terus meroyan’ dengan membangkitkan soal Bersatu mengkhianati UMNO dan pelbagai tuduhan lain yang hanya akan mengeruhkan keadaan?

Selain itu Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemimpin paling awal mengingatkan pemimpin di Sabah supaya mengambil sikap rekonsiliasi, mengetepikan perbezaan ideologi politik demi membangunkan dan membantu rakyat negeri itu.

Dalam kenyataan beliau ketika rundingan siapa akan menjadi Ketua Menteri masih berjalan, bekas Perdana Menteri berkata, rakyat Sabah sudah memberi kepercayaan kepada GRS untuk mentadbir negeri berkenaan dan sewajarnya peralihan pentadbiran negeri tidak sepatutnya ditangguhkan atau dilengahkan lagi.

“Tempoh berbalah, bercakap, berucap, berceramah sudah berakhir. Tiba masanya kita mentadbir, sekarang ini kita memerintah. Ini bukan masanya bersorakan kerana kerja kita sudah bermula. Rekonsiliasi! Tidak kira ideologi politik, kawan atau lawan.

“Sabah kini dalam keadaan tidak baik. Berturut-turut 2 tahun ekonomi dan pembangunan Sabah terhenti. Pendapatan rakyat jatuh, rakyat hilang kerja, graduan tiada kerja baru. Pertumbuhan hampir sifar, kebajikan dan bantuan tiada, kehidupan rakyat amat susah,” katanya.

Advertisements

Lebih menarik, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini amat bertegas mahu jawatan Ketua Menteri diberikan kepada parti itu turut mengeluarkan kenyataan menghormati keputusan GRS, jadi kenapa perlu ada pihak lain mahu bertindak ‘lebih sudu daripada kuah’.

Pendirian Ahmad Zahid bukan bermaksud beliau tunduk atau menyerah kalah, tetapi beliau menghormati pemilihan Hajiji atas semangat otonomi kerana tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, ‘’ Saya dimaklumkan oleh Pengerusi UMNO Sabah Bung Moktar Radin selepas rundingan dibuat dalam kalangan ADUN GRS yang menang, akhirnya sepakat mencalonkan Hajiji, demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan selepas diabaikan kerajaan Warisan sebelum ini.’’


Dengan kenyataan ketiga-tiga pemimpin itu, ia bermakna isu siapa Ketua Menteri Sabah sudah selesai dan tidak perlu diperdebatkan lagi. Hajiji pun sudah menerima watikah pelantikan daripada Yang Dipertuan Negeri Sabah Tun Juhar Mahirruddin dan akan mengangkat sumpah esok.

Janganlah kerana UMNO tidak mendapat jawatan berkenaan, di dalam parti berantakan manakala hubungan dalam Perikatan Nasional menjadi renggang. Penulis memahami bahawa dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO ramai yang tidak berpuas hati.

Lanjutan itulah pelbagai komen dilontarkan dalam media-media sosial termasuk menggesa UMNO mengkaji semula kedudukan dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Itu hak masing-masing memberikan pandangan tetapi berhati-hatilah jangan sampai parti porak peranda. Dan paling penting jangan sampai rakyat muak melihat gelagat seumpama itu yang sudah tentunya akan mewujudkan perasaan benci kepada UMNO.

PRN Sabah sudah selesai. Sekarang adalah masa untuk memperkukuhkan UMNO, Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional untuk menguruskan rakyat dan negara. Janganlah membuang masa untuk bercakap pula soal PRU-15.

Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Bung Moktar Radin ketika berkempan
pada Pilihan Raya Negeri Sabah, minggu lalu.

Walaupun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan keputusan PRN Sabah akan menentukan sama ada pilihan raya umum diadakan lebih awal atau tidak, namun penulis percaya keadaan sudah berubah memandangkan keputusan PRN Sabah yang menyaksikan Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS menang ‘cukup-cukup makan’ sahaja.

Tumpuan harus diberikan kepada usaha memperkukuhkan kerjasama sama ada dalam Kerajaan Perikatan Nasional mahupun Muafakat Nasional. Pada masa ini hubungan antara parti-parti dalam kedua-dua kerjasama itu ‘agak rapuh’ walaupun nampak bersama.

Penentuan siapa Ketua Menteri Sabah dan gimik politik Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu, sudah menjadi bukti betapa mudahnya kerjasama antara parti-parti terjejas serta ‘diganggu gugat’.

Banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki, kalau benar Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional mahu mencapai kemenangan cemerlang dalam PRU-15 nanti. Semangat setiakawan, hormati menghormati dan berpegang kepada janji antara sesama parti adalah aspek paling penting dan paling ketara untuk diperbaiki.

Perlu diingat, musuh bukan sahaja hanya datang dari luar tetapi juga dari dalam parti-parti masing-masing yang mempunyai agenda tersendiri.

Sudah tentulah musuh daripada luar mudah kita kenali dan ditangani tetapi musuh dari dalam paling bahaya kerana ia mampu memporak perandakan parti.

Kesimpulannya, hentikan polemik pelantikan Ketua Menteri Sabah, semuanya sudah selesai tidak perlu lagi terpekik terlolong bagi meluahkan perasaan tidak puas hati sehingga menjejaskan keharmonian dalam parti dan menjejaskan semangat permuakatan yang terbentuk. Perjalanan untuk menang PRU-15 masih panjang dan cukup getir!

Advertisements

Terkini

‘Bike Week’ Team Selangor bina semangat patriotisme

TEAM Selangor telah menganjurkan program ‘Bike Week’ dalam usaha membina semangat patriotisme sempena bulan Kemerdekaan 31 Ogos dan Hari...

Lagi Artikel Berkaitan